Jumaat, 28 April 2017

Harga kertas fotostat naik lagi.


Harga kertas fotostat dan buku latihan dijangka naik lagi pada bulan depan, setelah melambung naik antara 10 hingga 20 peratus mulai bulan ini.

Menurut syarikat pemborong dan pembekal alat tulis kepada Nanyang Siang Pau, akibat nilai ringgit menyusut, kenaikan harga mentah dan kos pengangkutan, telah mendorong harga kertas import melambung naik, terutama kertas fotostat.

Bagi peniaga, untuk melariskan jualan, mereka cuba mengelak daripada menaikkan harga dan sanggup memperoleh keuntungan walaupun sedikit.

"Pada bulan April, harga alat tulis dan kertas fotostat telah pun naik. Kita akan jual stok lama mengikut harga lama, tetapi bila stok baharu masuk mulai bulan depan, kita terpaksalah jual ikut harga baharu," kata seorang peniaga.

Manakala seorang pengusaha kedai alat tulis pula memberitahu akhbar ini, kertas fotostat (kertas A4) yang biasa digunakan kebanyakan orang dan sekolah, sudah tentu tidak dapat dielakkan daripada mengalami kenaikan harga kerana ia adalah barangan import.

"Akibat nilai ringgit turun dan kos pengangkutan semakin mahal, harga kertas A4 sudah tentu perlu naik. Kebanyakan alat tulis adalah diimport dari China. Selain kertas A4, buku latihan dan buku juga dijangka naik," katanya.

Sumber: http://www.sinarharian.com.

Khamis, 27 April 2017

Gred 'E' UPSR bukan bermaksud gagal - Menteri Pendidikan


Pelajar yang memperoleh keputusan gred 'E' dalam Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR) bukan bermaksud mereka gagal dalam mata pelajaran tersebut.

Menteri Pendidikan Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata gred itu menunjukkan mereka tidak mencapai tahap minimum penguasaan bagi subjek tertentu di dalam kelas dan perlu meningkatkan usaha bagi memastikan mereka berjaya menguasai sepenuhnya subjek yang dipelajari.

"Pencapaian gred dalam UPSR mempunyai skala daripada 'A' hingga 'E'. Gred 'E' bukanlah bermaksud mereka gagal dalam sesebuah mata pelajaran itu sebaliknya pelajar masih tidak menguasai sepenuhnya mata pelajaran tersebut.

"Ia hanya menunjukkan bahawa pelajar tersebut tidak mencapai tahap minimum dalam keputusan bagi sesebuah subjek di peringkat sekolah rendah...jadi dari segi pengetahuan, kemahiran dan nilai, usaha perlu ditingkatkan bagi memperoleh keputusan yang cemerlang," katanya pada Persidangan Dewan Negara hari ini.

Beliau menjawab soalan tambahan Senator Khairul Azwan Harun mengenai kekeliruan ibu bapa yang mempersoalkan status gred 'E' yang diperoleh anak mereka dalam keputusan UPSR. – Bernama







Apabila CYBER BN & SEKUTUNYA menyerang ISU AIR PENANG dengan persepsi..!!!


Soalan: Di Malaysia, jika guna 35,000 liter air sebulan, berapakah bil air yang perlu dibayar?

Jawapan: Bergantung pada negeri.

Paling MURAH sekali ialah di Pulau Pinang, bil air berjumlah RM11.30.

Kedua termurah ialah Terengganu, RM18.20.

Jika di negeri-negeri jiran Pulau Pinang, kena bayar RM23.45 di Kedah dan RM25.55 di Perak.

Negeri yang mempunyai pendapatan rakyat paling rendah di Malaysia, Sabah, kena bayar RM31.50.

Paling mahal sekali, di Johor, bil air mencecah RM36.75.

Tapi tiap-tiap hari UMNO-BN tak henti menghentam kerajaan negeri Pulau Pinang sebab bil air. Benda yang tak boleh tipu pun, dia boleh buat fitnah. #KitaLawan

Takkan BN tak tahu apa makna ‘sifar cukai’ – Guan Eng


Pakatan Harapan (PH) perlu mengambil pendekatan ‘sifar cukai barangan dan perkhidmatan (GST)’ bagi meringankan beban kos sara hidup yang ditanggung rakyat hasil daripada pelaksanaan cukai regresif itu.

Selaras dengan hasrat itu, Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng justeru menyokong cadangan Ahli Parlimen Lembah Pantai, Nurul Izzah Anwar untuk PH melaksanakan agenda itu demi kepentingan rakyat.

“Yang paling penting ialah kita mahu GST dimansuhkan dan kita nak pastikan tiada GST yang dikutip.

“Apa yang disebut Nurul Izzah ‘zero rated’ ialah tak ada GST.

“Ini adalah cara untuk menyatakan sesuatu yang telahpun menjadi seruan Pakatan (Harapan),” kata Guan Eng dalam sidang media di sini, hari ini.

23 April lepas, sebuah akhbar berbahasa Inggeris tempatan melaporkan bahawa PH akan mengekalkan GST jika ia mengambil alih kuasa selepas memenangi pilihan raya umum (PRU) akan datang, meskipun tidak akan mengekalkan kadar enam peratus seperti sekarang.

Nurul Izzah dipetik sebagai berkata PH kekal konsisten terhadap pendiriannya mengenakan ‘sifar GST’ jika gabungan pembangkang yang terdiri daripada PKR, DAP, Parti Amanah Negara (Amanah) dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) itu berjaya memerintah negara.

Mengulas lanjut, Guan Eng yang juga Setiausaha Agung DAP menyatakan bahawa Kerajaan UMNO-Barisan Nasional (BN) seharusnya lebih memahami ilmu hisab (Matematik) untuk memerintah negara.

“Saya pun tak mengerti mengapa mereka (BN) tak faham ilmu hisab. Takkan mereka tak tahu kira apa makna kosong atau sifar.

“Sekiranya BN tak faham apa itu ilmu hisab, mereka (BN) sebenarnya tak layak untuk memerintah negara. Itulah puncanya ekonomi kita berada dalam keadaan krisis sekarang,” ujarnya.

Sumber : https://www.roketkini.com

Jalan cerita bertukar, JASA tidak lagi nafikan kes mahkamah skandal 1MDB


Kenyataan Ketua Pengarah Jabatan Hal Ehwan Khas (JASA), Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi berhubung perkembangan terbaru skandal 1MDB seolah-olah mengesahkan bahawa terdapatnya salah laku membabitkan syarikat tersebut.

Puad dilaporkan media sebagai berkata penyelesaian secara timbang tara antara 1MDB dan Syarikat Pelaburan Antarabangsa Abu Dhabi (IPIC) kononnya telah ‘melemahkan’ dakwaan Jabatan Kehakiman Amerika Syarikat (DOJ) bahawa wang 1MDB telah diselewengkan.

“Sama ada ia (dakwaan Puad) benar atau tidak ia bebas untuk dibahaskan, tapi apa yang mengejutkan adalah reaksi kerajaan Malaysia yang sebelum ini menafikan skandal 1MDB, tetapi secara tiba-tiba menerima senario kes yang dibangkitkan DOJ.

“Jika kerajaan Malaysia berpegang teguh dengan naratifnya bahawa tidak ada skandal melibatkan 1MDB, maka Puad tidak sepatutnya mengeluarkan kenyataan seumpama itu,” kata Ketua Parlimen DAP, Lim Kit Siang dalam kenyataan, hari ini.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Gelang Patah berkata, Puad mungkin tidak menyedari bahawa kenyataan beliau itu telah mengesahkan tindakan saman sivil oleh DOJ bagi merampas aset bernilai lebih AS$1 bilion yang berpunca daripada dana 1MDB.

Sementara itu, Ahli Parlimen Petaling Jaya Utara, Tony Pua semalam menggesa Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak menjelaskan ‘penyelesaian’ terbabit memandangkan rakyat Malaysia nampaknya terpaksa membayar sebanyak dua kali ganda hutang 1MDB.

Hasil timbang tara antarabangsa di London memutuskan bahawa IPIC akan menerima bayaran berjumlah US$1.205 bilion.

Manakala 1MDB dan Kementerian Kewangan pula akan bertanggungjawab ke atas faedah bon bernilai US$3.5 bilion yang dijamin syarikat Abu Dhabi itu.

“1MDB cuba untuk menggambarkan semuanya baik sahaja – bahawa perselisihan tersebut telah diselesaikan tanpa memberi sebarang perincian.

“IPIC bagaimanapun menunjukkan bahawa mereka telah mendapat apa yang mereka mahukan,” ujar Tony dalam kenyataan.

Sumber: https://www.roketkini.com

Keahlian UMNO meningkat mendadak - PM Najib


Keahlian UMNO meningkat mendadak tahun ini berbanding masa-masa lalu, kata Presiden UMNO, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Najib yang juga Perdana Menteri menjelaskan selain keahlian UMNO, mesyuarat agung tahun parti itu diperingkat cawangan dan bahagian juga berjalan lancar.

"Mesyuarat di peringkat cawangan berjalan lancar dan saya dimaklumkan jumlah keahlian baru yang didaftar di ibu pejabat meningkat mendadak berbanding masa-masa lalu," katanya dalam sidang media selepas mesyuarat Majlis Tertinggi UMNO malam tadi.

Turut hadir Naib Presiden UMNO Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang menjalankan tugas timbalan presiden, Naib Presiden Datuk Seri Hishamuddin Tun Hussein, Setiausaha Agung Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor, Ketua Penerangan Tan Sri Annuar Musa dan Ketua Pergerakan Wanita Tan Sri Shahrizat Abdul Jalil.

Sementara itu ketika mengulas sambutan ulangtahun UMNO ke-71 yang akan diadakan di Stadium Bukit Jalil, Najib berkata parti itu yakin 'Gelombang Merah' akan memenuhi stadium nasional itu pada 11 Mei nanti.

Beliau menjelaskan UMNO meletakkan sasaran 100,000 ahli akan hadir ke perhimpunan raksaksa itu yang sepatutnya dibuat tahun lepas.

"Kita terpaksa menangguhkan sambutan yang sepatutnya dibuat tahun lepas akibat tragedi yang menyayat hati yang berlaku kepada dua pemimpin UMNO.

"Jadi tahun ini kita adakan sambutan ulangtahun ke 71, sepatutnya kita buat tahun lepas yang ke 70.

"Setiap negeri telah memberikan komitmen untuk menghantar ahli menyertai perhimpuna  raksaksa itu dan kita yakin gelombang merah akan memenuhi stadium Bukit Jalil," katanya.

Sebelum itu, Najib mempengerusikan mesyuarat Majlis Tertinggi (MT) UMNO di Menara Dato Onn, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC).Mesyuarat yang bermula 8.30 malam itu membincangkan beberapa perkara antaranya persiapan Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14).

Sumber: http://www.astroawani.com/berita-politik/keahlian-umno-meningkat-mendadak-pm-najib-140778

Rabu, 26 April 2017

"Admin WhatsApp" - Boleh Di Penjara.


KUALA LUMPUR: Admin (pentadbir) kumpulan WhatsApp berdepan tindakan undang-undang sekiranya gagal membendung penyebaran maklumat palsu dalam kalangan ahli sehingga menggugat keselamatan negara. 

Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Jailani Johari, berkata tindakan undang-undang sedia ada di bawah Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 boleh dipertimbangkan untuk mengambil tindakan terhadap pentadbir terbabit.

 Di bawah akta itu, pelbagai kesalahan boleh dikenakan tindakan seperti menyebarkan berita palsu, fitnah, menghasut, penipuan dan pendedahan komunikasi yang dilarang iaitu mendedahkan maklumat di bawah Akta Rahsia Rasmi (OSA). 

"Pentadbir boleh dipanggil untuk membantu siasatan sama ada tindakan diambil terhadap individu terbabit bergantung kepada fakta dan keterangan bagi setiap kes.   
"Tidak kira maklumat palsu, tidak sahih atau bertujuan memfitnah, pentadbir bertanggungjawab terhadap ahlinya. 

Sekiranya terbukti individu (pentadbir) terbabit secara langsung atau membiarkan maklumat palsu itu disebar secara sengaja, dia akan dikenakan tindakan," katanya kepada BH, semalam. 

Jailani berkata, pentadbir kumpulan WhatsApp perlu lebih bertanggungjawab mengawal ahlinya supaya tidak menyebarkan maklumat palsu dan seharusnya menjadi gate keeper menapis berita tidak sahih sebelum berkongsi dalam kumpulan aplikasi berkenaan atau disebarkan di medium media sosial lain.

Laksana segera...

Sementara itu, Timbalan Presiden Gabungan Persatuan Pengguna Malaysia (FOMCA), Mohd Yusof Abdul Rahman, berkata cadangan mengenakan hukuman terhadap pentadbir perlu dilaksanakan segera.

Katanya, penyebaran maklumat palsu bukan sahaja menimbulkan kegusaran dalam kalangan masyarakat malah boleh menggugat keamanan negara.

"Di India, kerajaan negara itu memperkenalkan undang-undang baharu yang mana pentadbir kumpulan WhatsApp boleh dihukum penjara sekiranya ahli kumpulan terbabit menyebarkan berita palsu.

"Walaupun yang menyebarkan berita itu adalah daripada ahli kumpulan terbabit, namun pentadbir yang akan bertanggungjawab menerima hukuman kerana dia tidak menapis dan memadam terlebih dahulu berita palsu daripada terus disebarkan," katanya.  

Mohd Yusof bagaimanapun berkata, hukuman yang bakal dikenakan terhadap pentadbir terbabit tidak seharusnya terlalu berat sebaliknya diberi amaran untuk kesalahan pertama.  

Katanya, banyak pendekatan lain boleh diambil untuk memantau penyebaran maklumat palsu seperti Akta Hasutan 1948, Akta Fitnah 1957, Akta Jenayah Komputer 1957 dan Kanun Keseksaan.

INFO: 

Seksyen 500 Kanun Keseksaan kerana memfitnah - Hukuman penjara 2 tahun dan denda atau kedua-duanya sekali.

Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 kerana penggunaan tidak wajar kemudahan rangkaian atau perkhidmatan rangkaian untuk menyebarkan berita palsu - Denda tidak lebih RM50,000 atau penjara tidak lebih setahun atau kedua-dua sekali jika sabit kesalahan.

Akta Hasutan 1948 - Penjara tiga tahun atau denda RM5,000 atau kedua-duanya. 

Akta Rahsia Rasmi (OSA) 1972 - Penjara mandatori antara satu hingga 7 tahun.

Selanjutnya di  https://www.bharian.com.my/node/276393?m=1

Selasa, 25 April 2017

Pengarah kanan Yapeim direman 5 hari.


Seorang pengarah kanan Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (Yapeim) direman lima hari bermula hari ini bagi membantu siasatan kes pecah amanah.

Majistret Nik Isfahanie Tasnim Wan Ab Rahman membenarkan suspek direman selepas mendengar permohonan daripada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Menurut jurucakap SPRM, pengarah itu ditahan kira-kira pukul 5 petang semalam selepas hadir memberi keterangan di ibu pejabat suruhanjaya itu di Putrajaya.

Lelaki berkenaan yang berpakaian lokap jingga dibawa ke Mahkamah Putrajaya kira-kira 9 pagi ini untuk permohonan reman SPRM itu.

Pengarah berumur 47 tahun itu ditahan kerana dipercayai terbabit pecah amanah melibatkan wang sejumlah RM223,000.

Dia disiasat mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan kerana pecah amanah.

Sumber: http://www.malaysiakini.com

Kenaikan Harga Barang: Raja Salman Pecat Menteri


Raja Arab Saudi, Raja Salman bin Abdulaziz Al Saud dilaporkan memecat Menteri Air Dan Tenaga Negara itu, Abdullah al-Hussayen apabila rakyat begitu marah dengan kenaikan harga barang.

Pemecatan itu juga susulan tindakan kerajaan mengurangkan subsidi ke atas elektrik, air dan beberapa perkhidmatan lain.
Perintah itu dikeluarkan pada Sabtu dengan melantik Menteri Pertanian, Abdel Rahman al-Fadli sebagai pengganti sementara.
Mac lalu, agensi berita Arab News melaporkan Abdullah telah meminta rakyat untuk mendapatkan permit bagi menggali perigi mereka sendiri ketika rakyat mengeluh dengan caj air yang tinggi.

Bagaimanapun pada awal bulan ini, Majlis Syura negara itu dilaporkan tidak berpuas hati dengan tindakan Abdullah itu lalu meminta penjelasan darinya dan pegawai kementeriannya.
Terdahulu Kementerian Kewangan dalam satu kenytaan berkata, Arab Saudi akan mengalami defisit belanjawan sebanyak $ 87 bilion pada 2016, yang mana ia akan menyusut untuk tiga tahun berturut-turut.

“Riyadh juga mengunjur perbelanjaan tahun depan pada 840 bilion riyal ($ 224.000.000.000),” kata kenyataan itu.

Sementara itu Pada Disember tahun lalu, beberapa tindakan perubahan yang tidak pernah dilakukan sebelum ini telah dilaksanakan di negara itu yang sedang menerima kesan teruk dari kejatuhan harga komoditi minyak di pasaran dunia.

BagaimanapunPemangku Raja, Mohammed bin Salman dijangka mengumumkan hari ini program untuk mempelbagaikan sumber ekonomi negara itu yang ketika ini bergantung hampir 70 peratus dari hasil eksport minyak.

Dasar BN bebankan rakyat dalang sebenar kenaikan harga barangan


Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Abdul Rahman Dahlan wajar meminta Menteri Wilayah Persekutuan, Tengku Adnan Mansor mendalami bidang ekonomi sebelum menuduh pembangkang sebagai dalang di sebalik kenaikan harga barangan.

Saranan itu dibuat Ahli Parlimen Segambut, Lim Lip Eng susulan tindakan Rahman Dahlan meminta Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng supaya belajar ekonomi berikutan kritikan Setiausaha Agung DAP itu berhubung isu peningkatan kadar inflasi negara.

“Adakah si Ku Nan (Tengku Adnan) ini cuba memberitahu rakyat supaya menyalahkan pembangkang kerana kenaikan harga petrol dan kadar tol?

“Bukankah kejatuhan nilai ringgit berbanding nilai dolar sehingga 45 peratus sepanjang 4 tahun lalu adalah angkara Barisan Nasional (BN)?

“Ahli-ahli Parlimen BNlah yang bertanggungjawab meluluskan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) di Parlimen,” kata Lip Eng dalam kenyataan.

Malah, beliau mendakwa syarikat yang dikuasai kroni BN mengawal penjualan beras dan syarikat yang menyediakan kemudahan awam.

“Bukan sahaja itu, harga barangan di pasaran juga ditentukan oleh kadar permintaan pasaran, dan langsung tidak ada kena mengena dengan pembangkang. Ku Nan ini sebenarnya sudah kenapa? Terhantuk kepala?” soalnya.

Setiausaha DAP Wilayah Persekutuan itu turut mempersoalkan sama ada Rahman Dahlan dan seluruh anggota Kabinet bersetuju dengan kenyataan Ku Nan kononnya pembangkang dalang di sebalik tindakan peniaga dan pemilik restoran menaikkan harga makanan.

“Jika ya, mesyuarat Kabinet seterusnya wajar memutuskan supaya ditutup sahaja Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan atas kegagalan mengawal harga barang, dan membazir dana pembayar cukai,” ujar Lip Eng.

Beliau bimbang jika Ku Nan dibiarkan terus “melalut dengan serangan-serangan bodohnya” tanpa dikenakan tindakan oleh BN, beliau akan terus membuat dakwaan liar tanpa sebarang asas dan fakta.

“Mungkin selepas ini beliau (Ku Nan) akan mendakwa bahawa pembangkanglah di sebalik rompakan wang rakyat dari dana 1MDB, atau menuduh bahawa Jho Low adalah ahli parti DAP,” ujarnya sinis.

Sumber: https://www.roketkini.com

Benarkah tarif air Pulau Pinang meningkat?


Dalam diam tiba-tiba meletup pula khabar dari kampung halaman saya kononnya tarif air di negeri Pulau Pinang telah dinaikkan oleh kerajaan negeri pimpinan DAP. Aparat propaganda Barisan Nasional pun gigih memukul canang dengan memanipulasi kata kunci itu, ‘tarif air naik’ dan ‘DAP’.

Untung besar aparat propaganda Barisan Nasional kerana umat negara ini kurang rajin membaca. Apatah lagi di zaman media sosial ini, pakai baca tajuk pun sudah cukup. Serupa tak payah tulis berita, tulis tajuk saja pun tak apa.

Mari sini abang jelaskan. Tarif air untuk pengguna domestik di Pulau Pinang kekal dan tidak berubah. Malah, tarif air Pulau Pinang adalah yang paling rendah di seluruh negara pada kadar purata 32 sen untuk 35,000 liter satu pengguna, setiap bulan.

Di Johor, kadar purata ini ialah RM1.32. Lebih empat kali ganda.

Apa jadi bila tarif air murah sampai tahap ini? Bayar bil air pun tak terasa; maka membazirlah kita sekaliannya. Kalau boleh pasang tab mandi dalam rumah, orang Pulau Pinang akan pasang dua tiga tab, buat berendam dalam air sabun.

Namun pembaziran sedemikian (atau dalam bahasa lebih lembut, penggunaan air yang terlalu tinggi) adalah tidak mapan dari segi alam sekitar mahupun dari sudut kewangan. Malah Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang terpaksa memberi subsidi sebanyak RM91 juta tahun lalu demi mengekalkan tarif air domestik paling rendah dalam negara.

Di tengah-tengah kekalutan tentang dakwaan ‘tarif air naik’ ini; Kerajaan Negeri Pulau Pinang sebenarnya berdepan satu lagi kritikan daripada badan-badan bukan kerajaan kerana didakwa tidak serius tentang konservasi air dan memulihara alam sekitar. Antara cadangan mereka ialah supaya menggandakan tarif air domestik sehingga dua atau tiga kali ganda.

Cadangan tersebut tidak diterima kerajaan negeri kerana tidak mahu membebankan rakyat Pulau Mutiara. Sebaliknya apa yang dilakukan ialah meningkatkan penalti atau denda terhadap mereka yang membazir dan menggunakan air seolah-olah memelihara ikan paus di dalam rumah.

Buat masa ini, surcaj bagi penggunaan air secara berlebihan bagi pengguna domestik ialah 48 sen bagi setiap 1,000 liter yang melebihi takat purata 35,000 liter.

Surcaj ini akan dinaikkan kepada RM1 dengan harapan ia akan mengurangkan tabiat membazir air dalam kalangan pengguna domestik yang perasan mereka mempunyai kolam menternak badak.

Tetapi bagi isi rumah yang mempunyai lebih daripada lapan orang satu rumah diberi diskaun 60 peratus ke atas surcaj tersebut. Kerajaan Negeri pun faham, kalau pun tidak ada kolam ikan lumba-lumba di rumah, mungkin ada terlalu ramai anak yang mandi sehari tiga kali (contohnya). Maka diskaun diberikan.

Malah sebenarnya kurang 1,000 isi rumah di seluruh Pulau Pinang yang mendapat diskaun ini kerana tidak banyak pun isi rumah dengan kapasiti lapan orang atau lebih.

Jadi pengajaran kepada kita yang kuat meloncat dengan propaganda Barisan Nasional ialah:

1. Jangan setakat baca tajuk berita. Dah la baca pun berita propaganda, malas pula baca keseluruhan cerita.

2. Jangan bela ikan paus di rumah. Bela ikan emas seekor, dalam balang.

3. Jangan membazir air lah. Aduhai.

Semoga Pulau Pinang terus menjadi negeri yang berjaya mengekalkan tarif air rendah, selain mengekalkan rekod tiada catuan tanpa pembaziran. Segalanya bermula dengan anda.

Sumber: https://www.roketkini.com














Rakyat Malaysia bayar hutang 1MDB dua kali ganda


‘Penyelesaian’ antara 1MDB dan IPIC hanya mengesahkan kerugian US$3.51 bilion yang kononnya dibayar kepada IPIC dan anak syarikatnya Aabar Investment PJS.

Ahli Parlimen PJ Utara, Tony Pua justeru menggesa Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak untuk memperjalaskan ‘penyelesaian’ terbabit memandangkan rakyat Malaysia nampaknya terpaksa membayar sebanyak dua kali ganda hutang 1MDB.

Hasil timbangtara antarabangsa di London memutuskan bahawa IPIC akan menerima bayaran berjumlah US$1.205 bilion, manakala 1MDB dan Kementerian Kewangan akan bertanggungjawab ke atas faedah dan bayaran pokok bon bernilai US$3.5 bilion yang dijamin IPIC.

“1MDB cuba untuk menggambarkan semuanya baik sahaja – bahawa perselisihan tersebut telah diselesaikan tanpa memberi sebarang perincian.

“IPIC bagaimanapun menunjukkan bahawa mereka telah mendapat apa yang mereka mahukan,” ujar Tony dalam kenyataan hari ini.

Namun apa yang lebih penting kata Setiausaha Publisiti DAP itu, adalah pengesahan bahawa 1MDB telah kehilangan sebanyak US$3.51 bilion yang kononnya telah dibayar kepada IPIC dan anak syarikatnya Aabar Investments PJS.

Tahun lalu CEO 1MDB Arul Kanda memaklumkan Ketua Audit Negara dan Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) tentang beberapa bayaran yang dibuat kepada Aabar Investments PJS Limited, sebuah syarikat dengan nama yang sama namun didaftarkan di British Virgin Islands.

Syarikat tersebut rupa-rupanya sebuah syarikat palsu, seperti yang didedahkan Jabatan Kehakiman Amerika (DOJ).

Pun begitu, Arul Kanda dan 1MDB tetap bertegas bahawa syarikat tersebut adalah anak syarikat Kumpulan IPIC dan membayar sejumlah US$1.367 bilion sebagai deposit keselamatan untuk bon bernilai US$3.5 bilion pada tahun 2012, selain bayaran berjumlah US$993 juta pada tahun 2014 dan bayaran tambahan sebanyak US$855 juta dan US$295 juta pada hujung 2014.

“Jumlah ini seperti yang ditekankan dalam laporan PAC tidak dapat disahkan oleh Ketua Audit kerana 1MDB enggan memberikan bukti dokumen transaksi tersebut, walaupun diminta selama berbulan-bulan.

“Adakah Arul Kanda dan 1MDB memberitahu kita bahawa walaupun US$3.51 bilion telah dibayar kepada IPIC, kita masih berhutang US$3.5 bilion?” soal Tony.

Beliau justeru mendakwa bahawa dakwaan pembayaran US$3.51 bilion kepada IPIC adalah tidak benar.

Bahkan katanya, dana tersebut telah disalahguna atau diubah seperti yang didokumenkan dalam pendakwaan DOJ terhadap Jho Low, selain dalam pendakwaan Singapura terhadap pegawai-pegawai bank di negara itu.

Sumber: https://www.roketkini.com

Isnin, 24 April 2017

DAP cabar Ku Nan semak senarai pengusaha restoran


Menteri Wilayah Persekutuan Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor dicabar membandingkan senarai pengusaha restoran di negara ini dengan keanggotaan parti politik mereka.

Setiausaha Organisasi Dap Selangor Ng Tien Chee membuat gesaan itu setelah Tengku Adnan mendakwa terdapat anggota pembangkang mendalangi kenaikan harga makanan, melalui penyertaan dalam pertubuhan restoran.

“Saya yakin majoriti daripada mereka adalah ahli komponen BN jika mereka terlibat di dalam politik,” katanya yang juga anggota Dewan Negeri Kawasan Balakong.

Tengku Adnan atau lebih dikenali sebagai Ku Nan berkata beliau telah mengenal pasti pertubuhan restoran yang dianggotai pembangkang yang “menidakkan apa yang kerajaan cuba bantu rakyat”.

Beliau berkata dapat menunjukkan bukti bil tidak masuk akal yang dikenakan melalui “WhatsApp rakyat” kepadanya.

Dalam kenyataan hari ini, Ng menolak dakwaan Tengku Adnan dan berkata kenaikan harga makanan benarnya disebabkan dasar-dasar kerajaan pusat yang membebani rakyat.

Dalam kenyataan hari ini, Ng menolak dakwaan Tengku Adnan dan berkata kenaikan harga makanan benarnya disebabkan dasar-dasar kerajaan pusat yang membebani rakyat.

“Ini merupakan satu logik yang mudah tetapi saya berasa hairan mengapa menteri tidak faham,” katanya.

Ng berkata harga barang akan turun dan ekonomi negara akan pulih jika kerajaan memansuhkan cukai barangan dan perkhidmatan (GST), memulihkan keyakinan pelabur dengan menyelesaikan isu 1MDB dan membanteras rasuah.

Beliau juga menegaskan tindakan kerajaan untuk memulihkan nilai ringgit dan menurunkan harga minyak petrol.

Sumber: http://www.malaysiakini.com

Umno-BN gunakan KEMAS untuk tujuan politik kepartian


Saya meneliti video ucapan Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Dato’ Sri Ismail Sabri Yaakob pada 20 April 2017 di satu program di Bera, Pahang bersama-sama dengan pegawai-pegawai Jabatan Kemajuan Masyarakat (KEMAS).

Ucapannya yang tanpa berselindung menggesa pegawai-pegawai KEMAS untuk menjadi jentera kerajaan Umno BN paling hadapan untuk menenatng pembangkang di seluruh negara. 

Malah, Ismail Sabri memaklumkan bahawa program-program berbentuk politik seperti ceramah boleh dianjurkan secara bersama dengan Umno Bahagian dengan peruntukan daripada KEMAS.

Ini secara jelas menunjukkan Umno BN sudah terdesak menggunakan kuasanya dan ‘machinery’ kerajaan bagi tujuan politik kepartian. Taktik kotor berulang ini berlaku apabila menjelangnya musim Pilihan Raya Umum (PRU).

Sepatutnya peranan KEMAS di setiap daerah adalah sebagai jentera Pembangunan Luar Bandar yang memfokuskan untuk meningkatkan kompetensi masyarakat luar bandar dan meningkatkan taraf hidup daripada segi pendidikan, sosial dan ekonomi. Ini kerana gaji kakitangan KEMAS dibayar daripada wang rakyat.

Malah Ismail Sabri dengan lantang bercakap, sekiranya beliau kena ‘bantai’ dengan pembangkang sekalipun, beliau akan lawan pembangkang dalam Parlimen untuk kepentingan Umno semata-mata.

Pada Mac 2016, Ismail Sabri telah menasihatkan kementerian yang dinaunginya supaya mengutamakan soal integriti tidak kira sama ada kakitangan bawahan, pegawai kanan, Menteri ataupun Ketua Menteri.

Kini , kata yang pernah diungkapkannya hanya sekadar kata seperti Menteri-Menteri Umno BN yang lain. Taktik kotor BN yang ditunjangi Umno mula terserlah. Pemikiran sedemikian yang kurang terbuka menjadikan Umno BN berada di takuk lama dan terus dibuai oleh janji manis sendiri yang akhirnya sekadar mimpi.

Ku Nan minta penduduk BTR ingat jasa BN


Secara peribadi, jika diikutkan hati Ku Nan, beliau tidak lagi mahu membantu pengundi kawasan Parlimen tersebut.

Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor hari ini menyatakan rasa hairannya apabila kawasan Parlimen Bandar Tun Razak masih gagal ditawan oleh Barisan Nasional (BN).

"Bandar Tun Razak (BTR) merupakan satu kawasan yang saya tidak tahu kenapa BN boleh kalah dua kali (dalam pilihan raya).

"Sebab BTR ini refleksi Malaysia, sebab Melayu, Cina dan India sama banyak. Walaupun sekarang ini Melayu lebih sikit, saya tak faham kenapa," soal Tengku Adnan semasa berucap merasmikan Karnival Ceria dan Sukan Komuniti Jom Bantu Rakyat di Bandar Tun Razak, Kuala Lumpur hari ini.

Menurut Tengku Adnan yang juga Setiausaha Agung Umno, kerajaan telah menunaikan segala permintaan mahu pun tuntutan komuniti Parlimen itu namun ia masih belum dapat meyakinkan pengundi kawasan tersebut bagi memilih calon Umno-BN.

"Apa salah kerajaan ini? Nak rumah kita bagi rumah, nak jalan raya kita bagi jalan raya, nak sekolah kita bagi sekolah, bas percuma untuk anak-anak ke sekolah tak minta pun kita bagi kerana kerajaan sedar kawan-kawan kita dalam kekangan kehidupan.

"Jadi kita bantu dan DBKL keluarkan lebih RM13 juta setahun untuk bantu. Jadi, apa lagi saya tak tahu nak buat," rungut Tengku Adnan.

Mengulas lanjut, Tengku Adnan yang juga anggota Parlimen Putrajaya berkata, secara peribadi, jika diikutkan hati beliau tidak lagi mahu membantu pengundi kawasan Parlimen tersebut.

Namun, kata Tengku Adnan yang mesra dengan panggilan Ku Nan, beliau tidak akan berbuat demikian kerana dirinya telah dididik dengan baik agar terus membantu rakyat walau pengundi Parlimen itu tidak mengundi kerajaan oleh Presiden Umno, Datuk Seri Najib Razak.

"Ini suruh cat (Perumahan Awam Seri Johor) kemudian minta baiki pula.

"Tempat ini, BTR kita kalah dan kalau ikut hati sayalah secara peribadi (tak bantu).

"Saya dididik oleh PM dimana dia memberi kunci politik yang mendidik saya agar bantu rakyat tak kiralah siapa mereka sokong kerana dia rakyat Malaysia.

"Ini PM yang kita ada, PM yang sayangkan rakyatnya, dia arah saya agar bantu rakyat tak kiralah mana mereka sokong kerana dia rakyat Malaysia," kata Ku Nan.

Oleh demikian, Ku Nan menyeru semua pihak khususnya pengundi Parlimen Bandar Tun Razak agar ingat jasa BN sekali gus memberikan undi mereka kepada parti pemerintah itu.

"Saya nak rayu bila ada pilihan raya esok, tolong. Tolong ingat jasa BN dan pangkah BN. Itu saja, supaya nanti jangan kita menang sorak tapi kampung tergadai," tambah Ku Nan.

Sumber:Malaysiakini.http://dlvr.it/NyX4q4

Ahad, 23 April 2017

'Pembangkang dalang kenaikan harga makanan' - Ku Nan


Ini kerana institusi pengusaha makanan sedia ada kini dianggotai oleh pemimpin parti pembangkang.

Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor berkata, caj melampau yang dikenakan oleh para peniaga dan pengusaha restoran didalangi oleh pakatan pembangkang.

Menurut Tengku Adnan yang popular dengan gelaran Ku Nan, ini kerana institusi pengusaha makanan sedia ada kini dianggotai oleh pemimpin parti pembangkang.

Persetujuan mengenai harga makanan pula akan ditentukan oleh institusi itu.

"Pada saya, ia memang didalangi oleh pihak pembangkang.

"Saya kenal pasti bila ada mesyuarat pertubuhan (restoran) di dalam pertubuhan itu ada DAP, PKR dan puak inilah yang berperanan menidakkan apa yang kerajaan cuba bantu rakyat selain memastikan harga ini diperbetulkan," kata Tengku Adnan.

Beliau berkata demikian ketika ditemui media di Perasmian Karnival Ceria dan Sukan Komiti Jom Bantu Rakyat di Padang Perumahan Awam Seri Johor, Kuala Lumpur hari ini.

Bagaimanapun, mengulas lanjut, Tengku Adnan yang juga setiausaha agung Umno itu berkata, teguran berhubung caj melampau yang dikenakan peniagan ini tidak tertumpu kepada peniaga India Muslim sahaja seperti yang dilaporkan sebelum ini.

Jumaat, 21 April 2017

Kos sara hidup di Malaysia terendah di Asean


KUALA LUMPUR -  Kos sara hidup di Malaysia adalah yang terendah  dalam kalangan negara-negara Asean mengikut kaji selidik kos sara hidup di seluruh dunia 2017 oleh Economist Intelligence Unit.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, ia hasil daripada pelbagai usaha yang dilaksanakan kerajaan dalam  mengurangkan beban kos sara hidup rakyat di negara ini.

Kaji selidik oleh  Economist Intelligence Unit itu membandingkan harga barang dan perkhidmatan di 133 bandar raya seluruh dunia.

"Bagaimanapun, ingin saya tegaskan di sini bahawa pengiktirafan tersebut tidak bermakna usaha kita meringankan bebanan kos sara hidup sudah selesai, " katanya menerusi catatan blog najibrazak.com bertajuk Ucapan Perdana Menteri Mengenai Taraf Hidup Rakyat.

Beliau berkata, isu kos sara hidup menjadi keutamaan kerajaan dalam usaha membawa Malaysia ke arah negara maju berpendapatan tinggi.

"Banyak usaha yang telah kita lakukan bagi memastikan rakyat kurang dibebani kos sara hidup. Antaranya, kawalan harga oleh pihak berkuasa, pembahagian BR1M (Bantuan Rakyat 1Malaysia), usaha perangi orang tengah dan sebagainya," katanya.

Perdana menteri berkata, kerajaan sentiasa berusaha untuk meningkatkan pendapatan rakyat dengan melaksanakan pelbagai program latihan dan pendidikan menerusi Tekun Nasional, Tranformasi Kedai Runcit (Tukar), Unit Peneraju Agenda Bumiputera (Teraju), Skim Permulaan Ekonomi Bumiputera (Superb), Majlis Amanah Rakyat (Mara), Dana Usahawan Muda, e-Reseki dan Dana Mudahcara.

Dari segi pengawalan kos pula, Najib berkata, kerajaan akan meneruskan program seperti Kedai Rakyat 1Malaysia, PR1MA (Perumahan Rakyat 1Malaysia), Klinik 1Malaysia dan Baucar Buku 1Malaysia.

"Saya benar-benar mengharap program-program ini dapat meningkatkan taraf hidup rakyat kerana perkara inilah yang saya usahakan pada setiap hari sebagai perdana menteri," katanya. - Bernama

Khamis, 20 April 2017

Kabinet Kayu Penipu Rakyat Semua Ini..


Apabila PM DS Najib mengumumkan barisan kabinetnya, maka penganalisis yang bersetuju dengan barisan ini menyatakan inilah kabinet transformasi terbaik, kabinet gabungan muka baru dan lama, dan kabinet yang mampu melonjakkan negara ke depan untuk menghadapi saingan globalisasi.

Bagi yang tidak bersetuju pula menyatakan inilah kabinet DS Najib untuk menghadapi pemilihan UMNO tahun ini, kabinet kitar semua dan kabinet kayu mati yang mudah dimakan anai-anai.

Saya tidak ada masalah dengan barisan kabinet ini. Mereka yang dilantik adalah hebat.

Namun, yang menjadi masalah kepada saya ialah bilangan kementerian dan menterinya yang ramai.  Untuk apa kita mempunyai 35 menteri berbanding hanya 31 menteri pada tahun 2008? Kabinet Jepun dan AS cuma ada 16 dan 18 menteri sahaja;  United Kingdom 23, Bolivia 27 dan Belgium 21 menteri kabinet.  India pula dengan 1.1 bilion penduduk hanya mempunyai 32 menteri kabinet.  Adakah Malaysia dengan jumlah menterinya yang ramai lebih baik dan lebih maju dari negara-negara di atas?

Meskipun Perlembagaan tidak menetapkan bilangan anggota kabinet, kita perlu bandingkan saiz kabinet Malaysia dengan kabinet di negara-negara lain.  Kewujudan kementerian dan menteri adalah untuk menyempurnakan tugas dalam mentadbir negara, bukannya sebagai ganjaran kepada kawan-rakan yang menang.
<>