Sabtu, 18 Mac 2017

Mesej Dr Mahathir: Pakat tukarlah kerajaan


Bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad menggesa semua rakyat Malaysia yang cintakan kepada bangsa dan mempunyai semangat kebangsaan supaya menukar kerajaan pada pilihan raya umum akan datang.
Mahathir, yang kini adalah pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU), berkata barisan pemimpin parti itu serta rakan-rakan lain dalam gabungan parti lawan mempunyai pengalaman serta kebolehan bagi mentadbir dan memajukan negara sekaligus dapat menyelamatkan Malaysia.

Katanya, beliau yakin mereka mampu mentadbir negara dengan baik sekaligus menepis pelbagai persepsi buruk negara-negara luar terhadap Malaysia sebagaimana terjadi hari ini.

"Hasrat kami adalah untuk memulihkan semula negara bertuah ini, oleh itu kita perlukan sokongan daripada rakyat yang cintakan kepada bangsa dan mempunyai semangat kebangsaan. Bantulah gabungan parti lawan telah kami tubuhkan dan yang akan bertanding nanti.

“Hanya satu cara dapat dilakukan iaitu melalui pilihanraya umum, jadi kita pakat tukarlah kerajaan pada PRU 14 nanti.
“Saya yang dulu Presiden Umno sendiripun telah keluar parti berkenaan dan kita harap rakyat yang sayangkan Malaysia juga dapat lalukan tindakan sama, katanya yang dipetik oleh Sinar Harian.

Mahathir berkata demikian ketika berucap di Pekan Ajil, Terengganu malam semalam.
Turut hadir ialah Presiden BERSATU, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan anak Mahathir, Datuk Seri Mukhriz, yang juga adalah timbalan presiden parti itu.
Dalam perkembangan berkaitan, Sinar Harian juga memetik Setiausaha Agung PKR Datuk Saifuddin Nasution sebagai berkata Pakatan Harapan akan mengadakan mesyuarat untuk membincangkan cadangan Mahathir.
Selasa lalu, Mahathir mengumumkan hasrat BERSATU untuk menyertai HARAPAN, tetapi mencadangkan supaya nama gabungan pembangkang itu diubah.

Beliau juga mencadangkan satu logo baru, satu simbol dan satu manifesto untuk menghadapi pilihan raya.

"Ketua Pembangkang, Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail telah memanggil semua pihak dalam Pakatan Harapan untuk mengadakan mesyuarat.
"Mesyuarat itu akan dihadiri seluruh kepimpinan dalam pakatan. Ia akan diadakan dalam masa terdekat," kata Saifuddin.

Cadangan Mahathir itu mendorong portal yang menyokong Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak untuk menuduh bekas perdana menteri itu yang mahu merampas HARAPAN.


EmoticonEmoticon

<>