Ahad, 26 Mac 2017

Rakyat Malaysia gembira, mahu BR1M diteruskan

Satu tinjauan seluruh negara oleh sebuah syarikat penyelidikan baru-baru ini mendapati majoriti warga Malaysia menghargai usaha kerajaan menyediakan subsidi menerusi BR1M 2017 dan tidak menganggap ia satu bentuk rasuah seperti yang didakwa pihak tertentu.

Tinjauan itu yang dijalankan oleh Kajidata Research Sdn Bhd terhadap 1,031 penerima dan bukan penerima BR1M di bawah penyeliaan Profesor Datuk Syed Arabi Idid mendapati 68.7 peratus daripada responden menerima baik BR1M dengan 63.9 peratus daripada mereka menolak pandangan bahawa ia adalah satu bentuk rasuah.

Dr Syed Arabi Idid yang berkongsi penemuan itu bersama Bernama berkata, oleh itu tidaklah mengejutkan bahawa 71.1 peratus daripada responden berpandangan bahawa BR1M, yang pertama kali diperkenalkan pada 2012, harus diteruskan pada masa depan.

Memandangkan kos kehidupan yang terus meningkat, 65.1 peratus daripada responden mengakui bahawa BR1M telah membantu melegakan bebanan kewangan mereka dengan hanya 25.6 peratus berkata sebaliknya, kata bekas rektor Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (IIUM) dan penasihat Kajidata itu.

Lebih separuh daripada responden gembira yang bantuan BR1M berjumlah sehingga RM1,200 kali ini sampai kepada kumpulan sasaran. Bagaimanapun, 33.8 peratus beranggapan BR1M gagal memenuhi matlamatnya.  

Apa yang menarik, 80 peratus daripada penerima menggunakan wang BR1M bagi membeli barang keperluan asas dengan 85.3 peratus daripada mereka menghabiskan subsidi itu dalam tempoh sebulan.


EmoticonEmoticon

<>