Selasa, 28 Mac 2017

Relevankah hapus GST, kembalikan subsidi masa ini?


Penghapusan cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) dan pengembalian semula subsidi akan menimbulkan satu keadaan ekonomi yang sukar buat negara pada masa kini. 

Menurut Dekan Fakulti Ekonomi dan Perniagaan, Universiti Malaysia Sarawak (Unimas), Prof Dr Shazali Abu Mansor, ini kerana tindakan itu akan mengurangkan pendapatan kerajaan dan sekali gus akan meningkatkan perbelanjaan negara.

Menghapuskan GST akan mengurangkan pendapatan kerajaan sebanyak RM40 bilion setahun, dan pengembalian subsidi pula akan menelan penambahan perbelanjaan sebanyak RM20 bilion.

"Ini akan meningkatkan defisit perbelanjaan, ditambah dengan harga minyak yang rendah akan menyukarkan lagi operasi kerajaan," katanya kepada Sinar Online.
Beliau berkata demikian bagi mengulas desakan Pemuda Amanah yang menyarankan kerajaan menghapuskan GST serta mengembalikan semula subsidi minyak sebagai langkah membantu rakyat dalam menghadapi kadar inflasi negara yang begitu membimbangkan.

Jelas Timbalan Ketua Pemuda Amanah, Faiz Fadzil berkata, anak muda dan golongan B40 adalah golongan yang paling terkesan dengan peningkatan inflasi ini.
Kadar inflasi pada bulan Februari 2017 adalah 4.5 peratus, iaitu kadar tertinggi sejak tahun 2008 dan dijangka akan berterusan untuk tahun ini.

Mengulas lanjut, Shazali berkata, buat masa ini GST perlu diteruskan pelaksanaannya.

"Sekarang teruskan GST, perbelanjaan ikut kemampuan yang memberi kesejahteraan rakyat dalam jangka panjang, seperti Bantuan Rakyat 1 Malaysia (BR1M) diberikan kepada golongan benar-benar memerlukan.

"Manakala pemberian subsidi kepada golongan yang memerlukan terutama kepada golongan B40, untuk sektor pelajaran dan pendidikan tinggi," katanya lagi.


EmoticonEmoticon

<>