Isnin, 20 Mac 2017

Sejak bila Malaysia jadi negara polis, soal Nazri


Menteri Pelancongan dan Kebudayaan Datuk Seri Mohamad Nazri Abdul Aziz kesal dengan tindakan polis yang menolak permohonan penganjur bagi perbahasan antaranya dengan bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad pada Sabtu ini.
Katanya, tidak ada alasan bagi polis untuk menolak permohonan itu kerana perbahasan itu bukan perhimpunan awam tetapi adalah wacana.
“Sejak bila kita jadi police state? Sejak bila hak individu boleh dihalang oleh orang lain.
“Ini bukan negara polis, ini Malaysia,” katanya dengan nada marah, kepada pemberita di lobi parlimen, hari ini.
Debat berkenaan dijadualkan di Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Sultan Azlan Shah di Kuala Kangsar dan bakal menyentuh isu berbangkit dalam negara seperti skandal 1MDB dan Bumiputra Malaysia Finance (BMF).
“Saya agak terganggu. “Saya minta kepada Sinar Harian sebagai penganjur untuk teruskan perbahasan ini.
“25 hari bulan saya datang juga, saya tidak mahu negara ini menjadi negara polis. Saya akan datang,” katanya.
Nazri juga menolak alasan perbahasan itu akan menggugat keselamatan dan ketenteraman awam.
Katanya, sebagai seorang menteri, beliau bukan mahu menghasut mana-mana pihak bagi menimbulkan pergaduhan.
“Saya menteri, kalau pembangkang nak menghasut...
“Saya menteri , Tun Dr Mahathir bekas perdana menteri,” katanya sambil memberi jaminan tidak ada perkara yang tidak diingini akan berlaku.
Nazri yang terkenal dengan kelantangannya yang ada kala dianggap celupar oleh pihak lawan juga berikrar dirinya tidak akan bertindak kurang ajar ke atas bekas perdana menteri itu.
“Sebab itu saya ada cakap dengan orang Umno, jangan datang...
“Saya beri jaminan tidak ada benda yang tidak diingini akan berlaku. Saya bukan nak bertinju dengan Mahathir.

“Takut saya kurang ajar kut? Tapi saya tak akan kurang ajar, dia (Dr Mahathir) boss saya dulu.
Saya ingin beri jaminan (ini) kepada polis, tidak ada alasan bagi polis untuk menolak perbahasan ini,” katanya.
Nazri yang juga ahli parlimen Padang Rengas berkata beliau telah menghubungi Ketua Pengarah MARA dan juga menerima surat kebenaran berkenaan.
“Saya tak faham kenapa pihak polis menolak hak saya. Dia kata ada beberapa (alasan)
“Sejak bila kita jadi negara polis? Sejak bila hak individu boleh dihalang oleh orang lain,” katanya.


EmoticonEmoticon

<>