Sabtu, 25 Mac 2017

Umno sindir Pakatan fokus Felda tapi tak pandang Perlis

Razali yang juga anggota Majlis Tertinggi Umno turut menegaskan, kerajaan BN tidak pernah mengabaikan kawasan Felda.


Timbalan menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Razali Ibrahim mendakwa keprihatinan yang ditunjukkan Pakatan Harapan terhadap masalah warga Felda kebelakangan ini hanya satu agenda politik bagi merealisasikan hasrat memenangi pilihan raya dan membentuk kerajaan.

Sebaliknya tegas pemimpin Umno itu, pihak pembangkang tidak berminat membela rakyat di kawasan-kawasan lain, khususnya Perlis kerana mereka tahu ia tidak menguntungkan pihaknya.Kata Razali, pembangkang sedar kawasan Felda merupakan antara penyumbang kerusi parlimen terbanyak Barisan Nasional (BN).
“Kenapa tidak ke Perlis? Sebab mereka tahu Perlis kecil, kerana itu Felda jadi kawasan tumpuan strategi politik mereka,” kata beliau dipetik Bernama. Terdahulu beliau merasmikan Mesyuarat Kelompok Umno Cawangan Bahagian Jerantut, di sini hari ini.

Pada Ahad lepas, Pakatan Harapan menganjurkan Konvensyen Warga Felda di Shah Alam, antara lain dengan agenda mahu membela nasib para peneroka.
Ahli Parlimen Raub, Datuk Mohd Ariff Sabri Abdul Aziz, yang antara lain berucap pada konvensyen itu berkata, warga peneroka Felda harus mengetepikan kepentingan diri sendiri, sebaliknya perlu berani melakukan perubahan politik dalam Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) untuk membantu orang Melayu dan negara.

Anggota Dewan Rakyat penggal pertama dari DAP ini berkata, sikap mementingkan diri sendiri dalam kalangan peneroka Felda penyebab Umno masih mempunyai pengaruh kuat ke atas mereka.
Razali yang juga anggota Majlis Tertinggi Umno turut menegaskan, kerajaan BN tidak pernah mengabaikan kawasan Felda.

“Bodohlah BN kalau kita nak abaikan dan menimbulkan masalah di kawasan ini,” kata beliau.
Pada masa sama beliau mengingatkan jentera BN agar turun padang dengan lebih kerap bagi memberi penerangan kepada warga Felda tentang isu semasa agar mereka tidak terpengaruh dengan dakyah pembangkang.
“Warga Felda perlu ingat sejak dahulu sehingga kini, baik waktu senang mahupun susah, kerajaan BN yang bersama-sama mereka. Silap percaturan masa depan mereka dan Felda sendiri akan terjejas,” katanya.


EmoticonEmoticon

<>