Sabtu, 1 April 2017

Datuk bandar KL terbabit dalam konflik kepentingan


Penduduk Taman Tiara Titiwangsa yang membantah projek berkepadatan tinggi di situ berkata DBKL ada konflik kepentingan dalam salah satu projek pembangunan itu.

Penduduk Taman Tiara Titiwangsa yang membantah 2 projek pembangunan perumahan berkepadatan tinggi di kawasan mereka mendakwa semakin jelas wujudnya konflik kepentingan dalam Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) untuk sekurang-kurangnya satu daripada projek itu.

Ia susulan penemuan 3 individu yang ada kuasa terhadap DBKL – Menteri Wilayah Persekutuan Datuk Seri Tengku Adnan Mansor, timbalannya Datuk M Loga Bala dan Datuk Bandar KL Datuk Mhd Amin Nordin Abd Aziz – juga dikatakan pengarah Yayasan Wilayah Persekutuan (YWP), yang memiliki sebidang tanah bagi projek berkepadatan tinggi itu.

Penduduk mendesak DBKL menghentikan serta-merta pembangunan itu. Baru-baru ini mereka menghantar surat tuntutan kepada datuk bandar, memintanya menjawab selewat-lewatnya semalam berhubung salah satu projek itu.

Peguamnya, L S Leonard berkata datuk bandar terlepas tarikh akhir itu dan laporan terhadapnya dibuat semalam di Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
Leonard berkata pada mulanya anak guamnya menyangka peringkat tertinggi DBKL hanya pemegang amanah YWP, dan itu pun sudah cukup membimbangkan.

“Tetapi konflik kepentingan semakin jelas sekarang apabila diketahui individu berkenaan sebenarnya pengarah YWP.

“Seorang pengarah perlu mengambil tindakan terbaik bagi syarikatnya. Tanggungjawabnya terhadap syarikat atau fungsi tadbir urus korporat lebih besar berbanding hanya pemegang amanah,” katanya.

Amin Nordin, Tengku Adnan dan Bala disenaraikan sebagai pemegang amanah di laman web YWP.
Bagaimanapun, Leonard berkata beliau mengetahui menerusi Suruhanjaya Syarikat Malaysia yang 3 individu itu sebenarnya pengarah syarikat berkenaan.

“Jika anda lihat laman web mereka, objektifnya ialah membuat kerja amal, bantu orang miskin dan sebagainya.
“Tetapi jika anda lihat cadangan pembangunan di Taman Tiara Titiwangsa, di mana YWP ialah pemilik tanah, ia lebih kepada pembangunan komersial, bertentangan dengan kerja amal.

“Pemaju bercadang membina 3 blok, dan hanya 1 blok dicadangkan bagi perumahan mampu milik,” katanya.


EmoticonEmoticon

<>