Sabtu, 29 April 2017

Ini pula kereta milik ahli politik BN


PETALING JAYA: Kereta sememangnya menjadi cerminan gaya hidup seseorang, dan bagi ahli politik, tersilap “memilih” kereta boleh merosakkan imej mereka.

Misalnya Ketua Penerangan Dewan Ulama PAS, Datuk Khairuddin Aman Razali yang dikritik hebat selepas terdedah tindakannya menghadiahkan kereta mewah Audi Q7 – yang berharga kira-kira setengah juta ringgit – kepada isteri.

Gaya hidup Ketua Pemuda PKR Ampang, Datuk Adam Rosly yang memiliki beberapa kereta mewah, selain rumah banglo, menyebabkan ramai yang tertanya-tanya punca pendapatannya sehingga menyebabkan laporan terhadap Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dibuat ke atasnya.

Beliau kini didakwa berbohong kepada SPRM yang menjalankan siasatan ke atas kekayaannya.
Bagi Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Paul Low berkata, kereta merupakan simbol status dan antara perkara pertama yang dibeli kebanyakan orang jika memiliki wang.

“Tetapi perlu ingat, bukan semua yang mendaftarnya atas nama sendiri. Ada pelbagai cara, seperti memakai nama ahli keluarga dan syarikat,” katanya yang menjaga hal-ehwal integriti, ketika dihubungi.

Pada 19 April lalu, FMT menyiarkan senarai kereta dimiliki sejumlah ahli politik pembangkang.

Kali ini, kami menghubungi beberapa ahli politik Barisan Nasional. Ini daripada mereka yang menjawab pertanyaan kami.

Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican, Timbalan Menteri Luar dan Ahli Majlis Tertinggi Umno: Saya memiliki sebuah Audi Q7, selain kereta rasmi kerajaan. Biasanya saya gunakan pada waktu malam, ketika pemandu sudah tidak bertugas.

Datuk Sim Kui Hian, Menteri Kerajaan Tempatan Sarawak dan Presiden Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP): Saya memakai kereta rasmi kerajaan negeri, BMW (model tidak terperinci). Kereta milik peribadi pula Honda City (2016) dan Toyota Vellfire (2011).

Datuk Nawawi Ahmad, Ahli Parlimen Langkawi dan Ketua Umno Bahagian Langkawi: Hanya sebuah kereta didaftar bawah nama saya, Toyota Vellfire. Memang saya gunakan sebuah ini sahaja.

Datuk Liang Teck Meng, Ahli Parlimen Simpang Renggam, Setiausaha Agung Gerakan dan Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN): Kereta peribadi milik saya adalah Volvo XC60 yang dibeli pada 2013. Selain itu, kereta yang didaftarkan dengan nama saya adalah Toyota Estima untuk kegunaan keluarga, dan Proton Saga untuk kerja di kawasan. Kedua-duanya dibeli 11 tahun lalu.

Datuk Seri Jamal Yunos, Ketua Umno Bahagian Sungai Besar: Sekarang saya pakai Toyota Land Cruiser. Saya pakai kereta tidak lama, biasanya selepas setahun saya akan jual. Saya memang ada perniagaan kereta, lebih 10 tahun dan sebelum menyertai politik.

Datuk Johan Abdul Aziz, Adun Semenyih dan Setiausaha Umno Selangor: Sudah hampir 3 tahun saya pakai Toyota Fortuner (2015).

Datuk Bung Mokhtar Radin, Ahli Parlimen Kinabatangan dan Ahli Majlis Tertinggi Umno: Kini saya pakai kereta rasmi sebagai pengerusi Felcra, Toyota Vellfire.

Datuk A Kohillan Pillay, Naib Presiden Gerakan dan bekas timbalan menteri luar: Toyota Harrier (2005) dan Toyota Camry (2012).

Datuk Chong Sin Woon, Naib Presiden MCA dan Timbalan Menteri Pendidikan: Saya memakai kereta rasmi kerajaan. Kereta milik peribadi pula cuma sebuah, Honda CR-V (2014) yang dipakai isteri.

Budiman Mohd Zohdi, Ahli Parlimen Sungai Besar dan Adun Sungai Panjang: Toyota Fortuner 3.0 yang dibeli pada 2014 selepas menjadi Adun. Sebelum itu saya ada Honda CR-V dibeli secara terpakai, kini tidak lagi boleh dipakai selepas kemalangan beberapa tahun lalu.

Datuk Paul Low, Menteri di Jabatan Perdana Menteri: Dulu saya ada Honda Civic (2006) tetapi sudah menjualnya tahun lalu. Saya sudah ada kereta rasmi, dan tidak suka menggunakan banyak kereta.



EmoticonEmoticon

<>