Khamis, 13 April 2017

Jamal Jamban dan sembilan pengikutnya didakwa kes perhimpunan Ampang Point.


Pengerusi pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Gerakan Merah, Datuk Seri Jamal Md. Yunos bersama sembilan penyokongnya didakwa di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan melakukan kekerasan bagi menentang pelaksanaan undang-undang di pusat beli-belah Ampang Point pada November tahun lalu.
Selain Jamal, 47, sembilan penyokongnya yang turut didakwa ialah Reza Jamin, 37,
Ariffin Abu Bakar, 47, Mohd Shabudin Abu Hassan, 47, Izzrul Idris, 32, Hasannen Zikri Harizan, 24, Mohd. Faiz Amirul Mahsan, 22, Mohd Yusoff Mohd Sharif, 26, Abd. Razak Hassan, 29, dan R. Balaguru, 30.
Kesemua mereka mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan utama dan pertuduhan pilihan dibacakan di hadapan Hakim Rushan Lutfi Muhamed.
Mengikut pertuduhan utama, kesemua tertuduh didakwa sebagai ahli suatu kumpulan perhimpunan yang menyalahi undang-undang yang mana tujuan bersama adalah untuk menentang pelaksanaan mana-mana undang-undang dan untuk melaksanakan tujuan bersama perhimpunan tersebut, kekerasan telah digunakan.
Untuk pertuduhan utama itu mereka didakwa mengikut Seksyen 147 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya.
Sementara untuk pertuduhan pilihan, mereka didakwa telah bertindak agresif dengan cara merempuh halangan pihak polis dengan tujuan membangkitkan kemarahan untuk menganggu keamanan.
Pertuduhan pilihan itu mereka didakwa mengikut Seksyen 14 Akta Kesalahan-Kesalahan Kecil 1955 (Akta 336) yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM100.
Mereka didakwa melakukan kesalahan itu pada pukul 4 petang 13 November tahun lalu di dalam bangunan pasaraya Ampang Point di sini.
Terdahulu, Pengarah Pendakwaan Selangor, Muhamad Iskandar Ahmad yang mewakili pendakwaan memohon jaminan sebanyak RM5,000 bagi setiap seorang tertuduh.
Bagaimanapun dua peguam bela iaitu Izzat Zabir Sariff dan Khairul Anwar Kashim memohon jumlah jaminan itu dikurangkan kepada RM1,000 seorang.
"Kesemua tertuduh mempunyai tanggungan keluarga dan telah memberikan kerjasama sepanjang siasatan kes," kata Izzat Zabir.
Selepas permohonan kedua-dua belah pihak Rushan Lutfi kemudian membenarkan kesemua tertuduh diikat jamin sebanyak RM3,000 setiap seorang dan menetapkan 3 Mei ini untuk sebutan semula kes. 
Dalam kejadian 13 November tahun lalu itu
Jamal membuat laporan polis selepas mendakwa dia ditumbuk hingga menyebabkan hidungnya berdarah di pusat beli-belah
Kejadian pada pukul 4 petang itu berlaku apabila Ketua UMNO Bahagian Sungai Besar, Selangor terbabit bertembung dengan sekumpulan individu berbaju kuning yang terdapat logo Bersih ketika dia sedang berjalan bersama 150 ahlinya.
Jamal mendakwa, kumpulan baju kuning yang diketuai Ahli Parlimen Ampang, Zuraida Kamaruddin sedang mengedar risalah meminta berhimpun secara haram pada 19 November tahun sama di ibu negara.
Sumber: http://www.kosmo.com.my


EmoticonEmoticon

<>