Rabu, 12 April 2017

Kegagalan Zahid Hamidi, punca Najib angkat sepupu jadi Menteri Tugas Khas


Pelantikan Datuk Seri Hishammuddin Hussein sebagai menteri tugas-tugas khas di Jabatan Perdana Menteri mencerminkan kegagalan keseluruhan jentera propaganda dan perancangan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.

Pelantikan itu juga kata Ketua Parlimen DAP Lim Kit Siang menunjukkan bahawa Najib bukan sahaja hilang keyakinan kepada timbalannya Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi tetapi juga hilang kepercayaan terhadap orang kuatnya sendiri seperti Datuk Seri Abdul Rahman Dahlan, Datuk Seri Salleh Said Keruak and Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

“Ini merupakan kegagalan serangan propaganda baru yang dilancarkan selepas UMNO mengalami ‘pembersihan’ pada Julai 2015 yang menyaksikan pelantikan Timbalan Perdana Menteri dan Pengarah Strategik Media BN yang baru,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurut Kit Siang, beliau tidak melihat pelantikan Hishamuddin sebagai langkah Najib untuk berundur sebelum Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14 tetapi merupakan indikasi segala perencanaan Najib tidak berjalan lancar.

“Dia (Najib) perlukan Menteri yang ‘super’ untuk menyelamatkan keadaan.

“Hishamuddin mungkin tidak menjadi Timbalan Perdana Menteri tetapi jelas sekarang, beliau menjadi orang kedua paling berkuasa dalam kerajaan UMNO-Barisan Nasional (BN),” katanya.

Pelantikan Hishamuddin ke jawatan khas itu diumumkan Perdana Menteri sebentar tadi dan berkuat kuasa hari ini dengan mengekalkan jawatan sedia ada sebagai Menteri Pertahanan.

Sumber: https://www.roketkini.com


EmoticonEmoticon

<>