Rabu, 5 April 2017

KOS SARA HIDUP TINGGI KERANA TAHAP PENDIDIKAN RAKYAT RENDAH – NAJIB


Salah satu punca utama tekanan dari kos sara hidup ialah kelulusan pendidikan yang masih di peringkat rendah oleh sebahagian besar rakyat Malaysia ketika ini.
Menurut Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak, ia menyebabkan golongan tersebut sukar mendapatkan pekerjaan yang menawarkan pendapatan yang berpatutan untuk menampung kos kehidupan semasa.
“Kalau setakat ada SPM sahaja, tiada diploma, sarjana dan kemahiran tertentu, kita tidak boleh dapatkan pekerjaan yang beri pendapatan yang baik.
“Kita perlu tingkatkan lagi bilangan rakyat Malaysia yang ada kelulusan tambahan,” katanya dalam sesi soal jawab sidang Dewan Rakyat di Parlimen.
Tambah Najib, pendidikan peringkat sekolah selama 11 tahun tidak memadai untuk mendapat kehidupan selesa sekiranya tidak memikirkan sesuatu untuk meningkatkan taraf hidup.
Katanya, sekiranya lebih ramai rakyat memiliki kelulusan tinggi atau menjadi usahawan, ia pada masa sama turut dapat membantu kepesatan negara.
Beliau menyeru supaya menanamkan dalam minda rakyat untuk terus mencari dan mendapatkan kelulusan serta kemahiran yang lebih tinggi. 


EmoticonEmoticon

<>