Isnin, 10 April 2017

LAMBAKAN PEKERJA ASING: SILAPNYA DI MANA?


1. Rakyat marhaen tertarik dengan kenyataan yang dikeluarkan oleh Datuk Seri Hishammudin Hussein, Menteri Dalam negeri bahawa beliau terkejut dengan lambakan luar biasa warga asing dalam negara ini terutamanya yang keluar semasa musim-musim cuti perayaan. Akhirnya pihak kerajaan sendiri telah mengakui bahawa kedatangan pekerja asing telah member impak yang besar terhadap persekitaran sosial dalam negara. 

2. Kenyataan tersebut bukan perkara baru bagi keseluruhan rakyat Malaysia tetapi telah lama di adukan walaupun tindakannya agak diragukan. Ada sesetengah kawasan perumahan yang hampir dikuasai oleh orang asing sehingga menakutkan penduduk tempatan terutamanya kaum wanita untuk keluar dari rumah. Ada kawasan yang tahap gejala sosialnya begitu menjijikkan masyarakat tempatan tanpa ada teguran dari mana-mana pihak. Ada kawasan yang penduduknya berada dalam ketakutan dari segi keselamatan dan tahap jenayah yang semakin mengancam. Semuanya itu bukan cerita dongeng tetapi itulah realiti yang berlaku di beberapa kawasan penempatan.

3. Rakyat marhaen percaya bahawa kerajaan sedang memikirkan langkah terbaik bagi menangani isu tersebut. Lambakan warga asing sebenarnya berkait rapat dengan faktor permintaan dan penawaran terutamanya berkaitan penggajian yang lebih murah. Kebanyakan mereka datang ke negara ini untuk bekerja dalam sektor pembinaan, pembuatan dan perkhidmatan. Ada pihak yang menganggarkan warga asing akan mencecah 5 juta orang menjelang tahun ini (2010) dibandingkan dengan total rakyat Malaysia seramai 26 juta orang malah dilaporkan bahawa pekerja asing yang masuk secara sah dan berdaftar sudah melebihi 2 juta orang. Persoalan besar ialah di mana mereka ini berada? Apakah sekiranya ketiadaan mereka akan menjejas pertumbuhan ekonomi negara? Rakyat marhaen semakin gusar bila memikirkan tahap pengangguran di kalangan rakyat tempatan terutamanya graduan universiti begitu membimbangkan tetapi dalam waktu yang sama lambakan pekerja asing semakin meningkat. 

4. Masalah pekerja asing bukan sahaja berkait rapat dengan gejala dan budaya sosial yang dibawa tetapi juga memberi impak terhadap pengaliran keluar wang dalam negara disamping menjejaskan peluang rakyat tempatan terutamanya pekerja bawahan untuk mendapat peluang. Bayangkan pengawal keselamatan sudah pun di kontrakkan kepada pekerja asing dan kadang-kadang melibatkan beberapa tempat strategik dalam negara termasuk pejabat-pejabat kerajaan dan perbankan. Bayangkan mereka yang bekerja dalam industri perkhidmatan makanan segera telah diambilalih oleh pekerja asing. Bayangkan anak-anak kita diasuh dan diajar oleh warga asing. Semua ini mungkin perlu tetapi setakat mana keperluan tersebut?

5. Kita masih tertanya-tanya apakah yang telah dan sedang dilakukan oleh pihak kerajaan dalam isu kemasukan pekerja asing sedangkan ianya melibatkan hampir 20 kementerian dan agensi kerajaan. Apakah pengkelasan mereka kepada 13 kategori masih tidak mencukupi untuk menyekat kemasukan mereka secara tidak berpatutan walaupun pelbagai syarat dan peraturan dikenakan? Apa pula peranan yang dimainkan oleh pihak berkuasa tempatan, pasukan keselamatan dan imigresen bagi menentukan bahawa mereka mengikuti sepenuhnya syarat kemasukan mereka? Bagaimana dengan pemantaun pekerja asing yang telah tamat tempoh visanya?

6. Rakyat marhaen mencadangkan supaya dasar perindustrian negara dikaji secara serius untuk membolehkan penggunaan sepenuhnya teknologi dan tenaga mahir tempatan sekaligus mengelakkan kebergantungan terhadap penggunaan tenaga asing. Kita mahukan supaya Tan Sri Muhyidin Yasin selaku Pengerusi Jawatankuasa Kabinet Mengenai Pekerja Asing supaya menyegerakan pembentukan Jabatan khusus menangani isu tersebut. Kita juga menyambut baik pembentukan Jawatankuasa Penambahbaikan, Pengurusan dan Pemantauan Warga Asing (JIPP Warga Asing) yang dipengerusikan sendiri oleh Hishammudin untuk mengkaji beberapa isu berkaitan pekerja asing terutamanya berkaitan kemasukan dan undang-undang. Namun begitu kita juga tidak mahu melihat dasar yang baik dicemari oleh perlaksanaan yang lemah. Penglibatan pasukan keselamatan terutamanya dari sudut ketelusan dan kesungguhan menyekat kemaraan warga asing secara tidak sah juga perlu diberikan perhatian. Kita tidak mahu lagi mendengar rungutan bahawa ada sebilangan pasukan keselamatan kita bersekongkol membenarkan kemasukan mereka untuk mendapat habuan sedangkan keselamatan dan keamanan negara digadaikan sewenang-wenangnya. 

7.Rakyat marhaen yakin bahawa keamanan dan kesejahteraan negara ini perlu dipertahankan. Malaysia adalah sebuah ‘syurga’ bagi pekerja asing tetapi dalam waktu yang sama jangan sampai rakyat tempatan merasakan seoalah-olah mereka hidup dalam ‘neraka’. Jangan pula negara kita jadi ‘kucabagha’.


EmoticonEmoticon

<>