Sabtu, 29 April 2017

Muda, berpendidikan dan penganggur

Graduan terpaksa berdepan dengan risiko pengangguran apabila ramai majikan enggan mengambil mereka bekerja dengan pelbagai alasan termasuk tidak berpengalaman.

SEPERTI kebanyakan rakan sebayanya dari kelas 2015, Ainatun Nadrah teruja untuk memulakan kerja dalam bidang media selepas tamat pengajian dengan ijazah komunikasi massa dari Universiti Teknologi Mara (UiTM).
Lebih pun, Ainatun menjalani latihan amali empat bulan di The New Straits Times pada Oktober 2014 dan dia fikir peluangnya cerah.
Bagaimanapun, pencariannya tidak berjaya. Kecewa, Ainatun menangguhkan pencarian kerja dan berkahwin pada Oktober 2015. Wanita berusia 26 tahun itu melahirkan seorang anak perempuan tahun lalu.
Tahun ini, Ainatun memulakan kembali pencarian kerja, terdorong dengan hakikat yang beliau perlu membayar semula pinjaman Tabung Pendidikan Tinggi Negara (PTPTN) sebanyak RM30,000.
Tetapi katanya, ramai majikan enggan mengambilnya bekerja kerana sudah berkahwin dan ada anak selain kurang pengalaman.
Akhirnya, suami memberinya RM4,000 untuk memulakan perniagaan secara online menjual barangan bayi.
Dalam kes Saiful Naquib Mohd Yusoff, 21, yang sudah 3 bulan tamat pengajian dari UiTM tahun ini, dia memutuskan untuk kerja sendiri.
Graduan kejuruteraan perisian itu tinggal di Ipoh, Perak dan berkata prospek kerja di kampung halamannya terhad, tetapi dia enggan pindah ke Kuala Lumpur kerana kos sara hidup tinggi.
“Saya ditawarkan kerja di Kuala Lumpur tetapi gaji hanya RM1,200. Saya tidak boleh hidup dengan jumlah itu di bandar,” katanya, menambah ijazah yang diambilnya menelan belanja RM19,500, dan perlu dibayar semula tidak lama lagi.
“Saya juga ada pinjaman pendidikan Mara sebanyak RM32,000. Saya terpaksa tangguh pembayaran semula sehingga dapat kerja,” katanya yang berasal dari Kuala Kangsar dan kini menjual madu.
Ainatun dan Saiful menjadi sebahagian daripada statistik itu, yang menunjukkan hampir 1 dalam 4 graduan baharu gagal mendapat pekerjaan dalam tahun pertama selepas tamat pengajian.
Namun, Bank Dunia dan syarikat pengambilan pekerja berkata antara cabaran perniagaan tertinggi bagi syarikat Malaysia ialah mendapatkan tenaga kerja berbakat.
Tom Osborne, pengarah serantau pakar pengambilan kerja Hays Malaysia berkata: “Kekurangan kemahiran di Malaysia berterusan dan 97% majikan sukar mendapatkan individu berkemahiran yang diperlukan.”
Naib Canselor Universiti Tun Abdul Razak (UniRazak) Prof Dr Md Zabir Abd Rashid berkata ini kerana Malaysia ada terlalu banyak universiti.
“Ada 20 universiti awam dan 65 swasta. Daripada 20 universiti awam, satu persoalan utama ialah berapa banyak yang kerajaan mahu jadikan ia institusi bertaraf dunia?
“Anda tidak boleh ada semua, hanya boleh ada satu, dua atau tiga saja.”
Zabid berkata sumber perlu diberi kepada universiti terpilih ini dan kerajaan juga perlu membuat keputusan adakah pendidikan untuk semua atau elit atau ia sekadar pelaburan.
“Apa peranan kerajaan dalam pendidikan? Adakah ia menyediakan akses kepada pendidikan untuk semua?”
Desakan untuk mengurangkan jumlah graduan mungkin tidak popular kerana sektor pendidikan tinggi antara penyumbang penting ekonomi dan bernilai RM7.5 bilion. 
Dalam kes Ainatun, sebelum memulakan perniagaan online, dia cuba menyertai perkhidmatan awam – di mana pertandingan amat sengit untuk mendapatkan pekerjaan di sektor awam.
Antara 2011 hingga 2015, Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (SPA) berkata ia menerima lebih sejuta permohonan kerja setiap tahun. Pada 2013 ia menerima 2.1 juta pemohon. Tetapi jumlah pemohon yang berjaya ialah 46,503 pada 2011 dan 30,964 pada 2015.
Permintaan itu menunjukkan sektor awam tidak menyediakan pekerjaan yang mencukupi untuk menyerap jumlah graduan dalam negara.
Perlu fleksibel
Simon Si, ketua komunikasi serantau portal pencarian kerja Jobstreet, berkata graduan baharu juga perlu bersedia untuk fleksibel dan mencari kerja di luar bidang atau pengajian mereka.
“Graduan baharu perlu mengembangkan pengetahuan mereka serta kemahiran,” katanya.


EmoticonEmoticon

<>