Rabu, 19 April 2017

Nasib tidak berubah, rakyat tuntut perubahan.


Sementara parti-parti politik bergelut dengan persediaan Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14, satu perkara yang tetap tidak berubah ialah nasib rakyat terutamanya yang berpendapatan menengah dan rendah. Sebagai pentadbir dan pemerintah, Datuk Seri Najib Razak dan Umno BN perlu dipertanggungjawabkan serta tidak boleh lari daripada amanah ini! Jangan tuding jari kepada pembangkang kerana tidak kotakan janji sedangkan parti pemerintah sewajibnya menepati janjinya.
Datuk Seri Najib dan parti pemerintah sendiri terpaksa memperkenalkan label khas, B40 dan M40 kerana kelompok rakyat berkenaan telah ketara semakin runcing. B40 ialah kumpulan isi rumah berpendapatan 40 peratus terendah (di bawah RM3,900 sebulan) manakala M40 ialah berpendapatan 40 peratus sederhana (antara RM3,900 hingga RM8,300 sebulan).
Semasa pembentangan Bajet 2017 dahulu oleh Perdana Menteri, pelbagai insentif dijanjikan untuk B40 dan M40. Antaranya ialah peruntukan subsidi hampir RM10 bilion yang merangkumi subsidi bahan api termasuk gas memasak, pampasan tol dan pengangkutan awam. Juga bantuan untuk golongan pesawah padi, pekebun kecil getah dan nelayan. Namun yang sentiasa diungkit ialah pemberian BR1M kepada 7 juta penerima dengan peruntukan RM6.8 bilion. Beliau malah mengutarakan konsep baru “public happiness” yang merujuk kepada kualiti kesejahteraan hidup rakyat dan bukan pendapatan semata-mata.
Sementara konsep ini baik pada asasnya namun realitinya amat jauh tersasar apabila rakyat bukan sahaja menghadapi masalah pendapatan tetapi tekanan hidup dan kemuraman atau “public discontent” dan “public unhappiness”.
Setelah masuk ke suku kedua 2017, sejauh manakah masalah pendapatan rakyat di selesaikan? Sejauh mana pelbagai insentif itu melegakan tekanan hidup kepada rakyat? Bukankah subsidi minyak masak telah dipotong? Bukankah harga gula pasir putih bertapis kasar telah naik 11 sen daripada RM2.84 kepada RM2.95 sekilogram pada 1 Mac lalu? Bukankah sebelum itu subsidi tepung, beras, elektrik dan minyak telah dihapuskan? Bukankah kadar inflasi 4.5 peratus antara yang tertinggi sejak lapan tahun? Ini penunjuk kenaikan harga barang.
Faktanya, subsidi kerajaan bagi keperluan asas seperti petrol, diesel, minyak masak, tepung dan bantuan seperti BR1M menurun sebanyak 9.6 peratus kepada RM24.64 bilion tahun ini, dari RM27.3 bilion tahun lepas.
Di samping itu, Malaysia mempunyai kesenjangan yang lebar antara kaya dan miskin di mana 75 peratus isi rumah memperolehi kurang daripada RM5,000 setiap bulan. Jika bekeluarga lima dan pendapatan datang daripada seorang ketua keluarga, cukupkah pendapatan itu? Sejahterakah atau “happy” kah rakyat?
Tinjauan umum saya mendapati ramai daripada kalangan rakyat tidak mampu untuk berfikir jauh lagi sehingga 10, 20 atau 30 tahun akan datang. Mereka terpaksa memikirkan nasib mereka untuk selama setahun, 6 bulan malah 3 bulan akan datang. Ini kerana pendapatan kurang daripada perbelanjaan walaupun amalan berjimat cermat telah dilakukan.
Sementara memang benar ketua keluarga harus bijak menguruskan kewangan untuk keperluan isi rumah, namun sekiranya kantung keluarga itu kecil dan bocor melalui cukai GST, bayaran harga barang yang naik dan harga rasuah maka nasib M40 dan B40 tetap tidak ke mana.
Sebab itu saya hairan apabila baru-baru ini Datuk Seri Najib berbangga dengan pencapaian negara di peringkat antarabangsa dengan pengiktirafan Malaysia sebagai lokasi Pusat Keamanan Global Raja Salman dan penghormatan daripada Presiden Korea Utara Kim Jong Un selepas berjaya menyelesaikan krisis diplomatik, sedang rakyat masih menghadapi masalah asasi seperti makanan, kesihatan, air, rumah, jalan raya dan pendidikan.
Saya tidak katakan supaya kita hentikan hubungan antarabangsa atau potensi pelaburan dari luar, namun persoalannya ialah apakah dengan pencapaian tersebut maka rakyat tidak terbeban lagi dengan cukai GST, kos sara hidup yang tinggi, hutang yang melambung, kos pendidikan yang meningkat, kos kesihatan yang tinggi dan tambang pengangkutan awam yang naik? Apakah ini fitnah dan kata-kata dusta yang sengaja ditimbulkan oleh pembangkang untuk menimbulkan kebencian rakyat kepada kerajaan seperti yang didakwa Datuk Seri Najib?
Apakah tidak benar bahawa wang RM2.6 bilion telah masuk ke dalam akaun peribadi Datuk Seri Najib dan hutang 1MDB telah melambung kepada RM53 bilion? Bukankah wang sebesar itu sewajarnya disalurkan dengan telus kepada rakyat dalam bentuk penghapusan cukai GST, pendidikan percuma, pembinaan infrastruktur sekolah, jalan raya, hospital dan lain-lain?
Apa yang ditimbulkan oleh pembangkang bukannya untuk membenci kerajaan tetapi untuk melaksanakan amanah rakyat menegur pemimpin parti pemerintah apabila berlaku kepincangan. Memang sudah menjadi tanggungjawab kerajaan dan parti pemerintah untuk melaksanakan dasar dan rancangan yang diamanahkan oleh rakyat.
Malah dalam keterbatasan pembangkang, saya lihat parti-parti pembangkang khususnya di bawah Pakatan Harapan telah mula dan pernah mengemukakan dasar yang membangun, progresif dan pragmatik untuk membina negara kembali kepada kegemilangan. Contohnya, Belanjawan Pakatan Harapan (sebelumnya Pakatan Rakyat) yang diterbitkan setiap tahun. Begitu juga dengan Pelan Pemulihan Felda. Dan akan datang, dasar yang berkaitan pembanterasan rasuah, kadar pendapatan adil, peluang yang saksama, kos sara hidup dan kebajikan sosial.
Rakyat juga tidak lupa bahawa terdapat tiga negeri sekarang yang ditadbir oleh pembangkang iaitu Selangor, Pulau Pinang dan Kelantan. Kisah kejayaan pelaksanaan dasar yang pro-rakyat boleh dilihat dengan jelas terutamanya di Selangor dan Pulau Pinang.
Juga tidak boleh dilupakan bahawa Sdr Anwar Ibrahim telah melancarkan Agenda Ekonomi Malaysia pada Mei 2008 lagi sebagai kenyataan dasar-dasar pembangunan sosio-ekonomi membangunkan negara secara mampan dan inklusif. Dasar-dasar ini telah mendahului Model Ekonomi Baru dan Program Transformasi Ekonomi yang dibentangkan oleh parti pemerintah.
Agenda Ekonomi Malaysia sudah pun mengenal pasti matlamat dan hala tuju dalam membentuk negara maju dan berpendapatan tinggi. Hal ini termasuklah menggariskan strategi utama serta mengenal pasti halangan-halangan struktural kepada pembangunan negara secara jelas dan jitu.
Pada akhirnya, dasar yang ditawar oleh Pakatan Harapan tetap tidak boleh terlaksana selagi kerajaan parti pemerintah tidak bertukar. Selagi itu maka nada dan irama yang serupa persis rekod usang akan didengari oleh rakyat setiap kali semasa PRU. Lebih malang lagi, pentadbiran dan pemerintahan kleptokrasi penuh kepincangan, rasuah, salah guna kuasa, wang dan kedudukan akan terus merosakkan negara dan rakyat. Nasib rakyat tidak akan berubah selagi rakyat tidak sanggup berubah kepada menyokong Pakatan Harapan.


EmoticonEmoticon

<>