Rabu, 19 April 2017

PM ikrar jadikan M'sia antara 20 negara termaju


Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak hari ini berikrar untuk memakmurkan negara sehingga dapat berada di kedudukan 20 negara termaju di dunia.
Najib berkata, beliau bersama Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Zahid Hamidi serta barisan jemaah menteri akan bersama-sama memajukan negara.
"Saya bersama-sama Datuk Seri Zahid Hamidi beserta barisan jemaah menteri, demi Melayu, demi Bumiputera, demi rakyat Malaysia seluruhnya, kita akan bersatu hati, seia dan sekata untuk terus berjuang memakmurkan negara sehingga terjulang berada pada kedudukan 20 negara termaju di dunia.

“Insha-Allah," katanya ketika berucap melancarkan buku Hala Tuju Ekonomi Bumiputera 2.0 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur.
Turut hadir pada majlis berkenaan ialah Zahid serta barisan menteri-menteri kabinet.
Selagi nyawa dikandung jasad
Selain itu, berucap di hadapan kira-kira 1,500 hadirin, Najib memberitahu kerajaan yang ada pada hari ini merupakan sebuah kerajaan yang bertanggungjawab.
Katanya, kerajaan hari ini juga akan terus berjuang membela nasib orang Melayu dan Bumiputera sama ada bumiputera Islam atau bukan Islam.
"Kerajaan ini akan terus memperjuangkan kepentingan seluruh lapisan rakyat Malaysia demi keamanan dan kestabilan, makmur serta sejahtera," katanya.
Najib juga berkata, orang Melayu dan Bumiputera tidak perlu bimbang kerana kerajaan akan sentiasa memperjuangkan agenda Transformasi Kesejahteraan Bumiputera sampai bila-bila.
"Usahlah berasa gundah serta bimbang kerana selagi nyawa dikandung jasad, agenda Transformasi Kesejahteraan Bumiputera atau TKB ini akan tetap kita perjuangkan sampai bila-bila," katanya lagi.
Menurut Najib, hasil usaha gigih kerajaan selama ini juga telah membuahkan hasil apabila purata isi rumah bumiputera telah meningkat daripada RM3,624 pada 2009 kepada RM5,548 pada 2014, atau sebanyak 53 peratus.
Transformasi Kesejahteraan Bumiputera merupakan kesinambungan Hala Tuju Transformasi Ekonomi Bumiputera yang dilaksanakan pada 2011.
Ia merupakan agenda bagi golongan bumiputera yang bersifat inklusif atau lebih holistik berbanding agenda sebelum ini yang hanya menumpukan sudut ekonomi sahaja.
"Transformasi Kesejahteraan Bumiputera ini turut merangkumi segenap aspek kesejahteraan hidup seperti pendidikan, kesihatan, sosial dan budaya dalam persekitaran selesa serta mengangkat martabat bumiputera ke tahap lebih tinggi," kata Najib.


EmoticonEmoticon

<>