Isnin, 17 April 2017

PM rasmi projek rumah, penduduk 'demo' di luar


Sekumpulan penduduk hari ini mengadakan protes di luar majlis pecah tanah di Kampung Sungai Udang, Segambut yang dihadiri Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.

Ironinya ia berlaku ketika Najib melancarkan sebuah projek perumahan baru yang dikatakan menggunakan sistem 'unik' bagi membantu penduduk berpendapatan sederhana.

Dalam acara petang ini, kira-kira 80 orang penduduk berhasrat menghantar memorandum kepada Najib namun tidak berjaya.

Mereka turut membawa kain rentang bertulis "Bina rumah kami" dan "Siapkan rumah penduduk dulu".

Ketika ditemui, Setiausaha Kerja Penyelesaian Perumahan Tetap Jinjang Selatan Tambahan, Amee Khan Bakar Ali berkata, mereka berkumpul untuk meminta perdana menteri campur tangan dalam isu perumahan yang dihadapi mereka.

Menurut Amee Khan, mereka tidak berpuas hati apabila seramai sekurang-kurang 500 penduduk di Lot 9714, Jinjang Selatan Tambahan diminta mengosongkan rumah mereka.

Katanya, penduduk tidak setuju untuk mengosongkan rumah bagi tujuan projek pembinaan kerana tiada rumah yang dibina untuk mereka.

"Kita dengan tegas minta perdana menteri campur tangan masalah perumahan ini. Penduduk mahu rumah dibina sebelum arah penduduk pindah," katanya ketika ditemui pemberita.

Sumber: https://m.malaysiakini.com/my


EmoticonEmoticon

<>