Selasa, 25 April 2017

Rakyat Malaysia bayar hutang 1MDB dua kali ganda


‘Penyelesaian’ antara 1MDB dan IPIC hanya mengesahkan kerugian US$3.51 bilion yang kononnya dibayar kepada IPIC dan anak syarikatnya Aabar Investment PJS.

Ahli Parlimen PJ Utara, Tony Pua justeru menggesa Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak untuk memperjalaskan ‘penyelesaian’ terbabit memandangkan rakyat Malaysia nampaknya terpaksa membayar sebanyak dua kali ganda hutang 1MDB.

Hasil timbangtara antarabangsa di London memutuskan bahawa IPIC akan menerima bayaran berjumlah US$1.205 bilion, manakala 1MDB dan Kementerian Kewangan akan bertanggungjawab ke atas faedah dan bayaran pokok bon bernilai US$3.5 bilion yang dijamin IPIC.

“1MDB cuba untuk menggambarkan semuanya baik sahaja – bahawa perselisihan tersebut telah diselesaikan tanpa memberi sebarang perincian.

“IPIC bagaimanapun menunjukkan bahawa mereka telah mendapat apa yang mereka mahukan,” ujar Tony dalam kenyataan hari ini.

Namun apa yang lebih penting kata Setiausaha Publisiti DAP itu, adalah pengesahan bahawa 1MDB telah kehilangan sebanyak US$3.51 bilion yang kononnya telah dibayar kepada IPIC dan anak syarikatnya Aabar Investments PJS.

Tahun lalu CEO 1MDB Arul Kanda memaklumkan Ketua Audit Negara dan Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) tentang beberapa bayaran yang dibuat kepada Aabar Investments PJS Limited, sebuah syarikat dengan nama yang sama namun didaftarkan di British Virgin Islands.

Syarikat tersebut rupa-rupanya sebuah syarikat palsu, seperti yang didedahkan Jabatan Kehakiman Amerika (DOJ).

Pun begitu, Arul Kanda dan 1MDB tetap bertegas bahawa syarikat tersebut adalah anak syarikat Kumpulan IPIC dan membayar sejumlah US$1.367 bilion sebagai deposit keselamatan untuk bon bernilai US$3.5 bilion pada tahun 2012, selain bayaran berjumlah US$993 juta pada tahun 2014 dan bayaran tambahan sebanyak US$855 juta dan US$295 juta pada hujung 2014.

“Jumlah ini seperti yang ditekankan dalam laporan PAC tidak dapat disahkan oleh Ketua Audit kerana 1MDB enggan memberikan bukti dokumen transaksi tersebut, walaupun diminta selama berbulan-bulan.

“Adakah Arul Kanda dan 1MDB memberitahu kita bahawa walaupun US$3.51 bilion telah dibayar kepada IPIC, kita masih berhutang US$3.5 bilion?” soal Tony.

Beliau justeru mendakwa bahawa dakwaan pembayaran US$3.51 bilion kepada IPIC adalah tidak benar.

Bahkan katanya, dana tersebut telah disalahguna atau diubah seperti yang didokumenkan dalam pendakwaan DOJ terhadap Jho Low, selain dalam pendakwaan Singapura terhadap pegawai-pegawai bank di negara itu.

Sumber: https://www.roketkini.com


EmoticonEmoticon

<>