Sabtu, 29 April 2017

Ramai hairan mengapa Najib tak saman Dr Mahathir kerana gelarnya ‘pencuri’


KIRA-KIRA 3,000 hadirin yang mendengar Dr Mahathir Mohamad meneruskan serangan terhadap Najib Razak pada siri ceramahnya di Muar malam tadi, tertanya-tanya mengapa perdana menteri tidak mengambil tindakan menyaman pemimpin veteran itu kerana memanggilnya “pencuri”.
Sama seperti sesi ceramah lain, Dr Mahathir tidak mengubah skripnya ketika di pinggir bandar Parit Yusof, Muar.
Beliau hanya mempunyai satu mesej kepada orang ramai – mereka mesti menghapuskan pentadbiran Najib yang dikatakannya rasuah.
Apabila pemimpin berusia 91 tahun itu selesai, ia hampir tengah malam, peniaga Ishak Mahmuda bertanya soalan penting ini:
"Tun kata Najib seorang penyangak, lanun dan sebagainya tapi beliau tidak dikenakan sebarang tindakan, mungkin kerana Najib mempunyai strateginya sendiri dan untuk memberi kebaikan kepada parti," kata lelaki berusia 61 tahun yang menghadiri ceramah tersebut bagi mendapatkan gambaran lebih jelas tentang apa yang berlaku di negara ini.
Seorang lagi yang hadir pada ceramah itu, Mohd Aluan Salikun berkata mungkin Najib takut mengambil tindakan terhadap Dr Mahathir.
"Mungkin sebab beliau takut. Kalau beliau (Najib) saman, banyak lagi perkara yang dilakukannya terbongkar dan sekali gus memberi impak negatif kepada Umno sendiri," katanya.
Aluan, yang hadir bersama keluarganya, pernah menjadi penyokong setia Umno tetapi beralih kesetiaannya kepada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).
Beliau menyalahkan "pentadbiran rasuah" Umno kerana tindakannya itu.
"Kini saya taat setia kepada Bersatu. Memang ada yang cakap zaman Tun dahulu dulu pun ada rasuah, tetapi rasuahnya tidak seteruk sekarang," katanya kepada The Malaysian Insight.
Terdapat ramai khalayak seperti Aluan – bekas ahli Umno yang kini beralih arah kepada Bersatu.
Mereka semua menyanjung tinggi dan mempercayai setiap butir biacara Dr Mahathir, perdana menteri negara paling lama berkhidmat dan juga pengerusi Bersatu.
Ahli politik veteran itu kekal sebagai tokoh terkenal, jika dilihat daripada penerimaan yang diterimanya di ceramah malam tadi.
Meriah dan bersemangat. Itulah yang dapat digambarkan kira-kira sejam sebelum ceramah "Jelajah Semarak" bermula.
Gendang dipalu kuat dan penuh semangat pemuda Armada di hadapan perkarangan rumah penduduk di situ Zainudin Sayuti.
Orang ramai sanggup bersengkang mata sehingga hampir tengah malam untuk mendengar ucapan Dr Mahathir. Seperti biasa, beliau pemimpin Pakatan Harapan yang terakhir berucap.
Sama seperti dalam ceramahnya sebelum ini di lokasi lain, Dr Mahathir memanggil Najib pencuri dan mengkritik skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dan “derma” RM2.6 bilion dimasukkan ke dalam akaun beliau.
Semasa berucap, beliau mempersendakan Najib dan disambut gelak ketawa orang ramai.
Katanya, beliau sebelum ini sudah sedaya upaya cuba menyingkirkan Najib tetapi tidak berjaya kerana “kulit Najib sangat tebal”.
Bagi bekas penyokong tegar PAS Nasir Abdul Hamid, ini bukan kali pertama beliau hadir ke ceramah Bersatu.
Nasir yang kini merupakan ahli parti Amanah berkata pernah hadir ceramah Bersatu di Melaka dan datang kali ini kerana ingin mendengar isu semasa.
"Ceramah selepas ini di Teluk Mas pun saya akan datang lagi. Saya hendak dengar isu semasa apa yang berlaku. Kita tidak akan dapat gambaran sebenar jika menonton berita di TV3, TV1 kerana ia banyak menyebelahi satu pihak sahaja.
"Kalau dengar, kerajaan sahaja yang betul, laksana pelbagai projek. Padahal semua itu duit rakyat dan sememangnya menjadi tanggungjawab kerajaan. Pembangkang semuanya salah," katanya kepada The Malaysan Insight.
Nasir dari Muar yang datang bersama enam lagi anaknya pernah bersama PAS selama 40 tahun tetapi kecewa dengan Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang yang disifatkanya berbeza dengan bekas presiden Fadhil Noor.
"Hadi tolak bangsa Cina dan Melayu bersatu. Saya tidak mahu begitu. Saya mahu mereka bersatu padu," katanya.
PAS berbalah dengan parti pembangkang lain iaitu DAP, sejak 2015 kerana terus mendesak untuk melaksanakan kod jenayah syariah.
Ia menolak Amanah, parti serpihan yang diketuai bekas pemimpin progresif yang meninggalkan PAS selepas ia berpecah dengan pakatan pembangkang Pakatan Rakyat. Kini, di saat muktamar berlangsung di Kedah, ia terus menyerang PKR dan pemimpinnya.
Pemimpin Pakatan Harapan lain yang hadir pada ceramah malam tadi termasuk Presiden Bersatu Muhyiddin Yassin, Timbalan Presiden Mukhriz Mahathir dan Ketua Armada Bersatu Syed Sadiq Abdul Rahman.


EmoticonEmoticon

<>