Jumaat, 7 April 2017

UMNO jadi ‘hantu’ rakyat Malaysia, guna perkauman kekalkan kuasa


UMNO sudah menjadi ‘hantu’ yang gemar mengusik kehidupan rakyat dengan menggunakan provokasi perkauman bagi memastikan undi tetap menyebelahi mereka dalam pilihan raya nanti.
Ahli Parlimen Pokok Sena, Datuk Mahfuz Omar berkata, parti itu tidak henti membuat pelbagai tuduhan liar kerana pemimpin-pemimpinnya sudah mula rasa terancam.
Misalnya ucapan dasar Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak pada Perhimpunan Agung UMNO (PAU) lalu yang menuduh kononnya hak dan kepentingan orang Melayu akan terkubur jika pembangkang menawan Putrajaya.
“Najib dalam ucapannya telah membaca ‘mentera tahyul’ dengan mengatakan bahawa segala keistimewaan Melayu, Islam dan Bumiputera akan terhapus dan DAP akan memerintah negara Malaysia manakala Lim Kit Siang pula sebagai Perdana Menteri.
“Maka gegak-gempitalah ahli Umno menjerit, marah dan menangis mengenang nasib masa depan bangsa Melayu.
“Sepatutnya soal beban rakyat yang melibatkan GST, pengangguran dan harga barang patut dibincangkan tetapi Najib hanya menggunakannya (ucapan) sebagai pelantar untuk memperkatakan soal kuasa serta memfitnah Pakatan dan PPBM,” katanya.
Mahfuz turut membidas bekas Naib Pengerusi DAP, Tunku Abdul Aziz Tunku Ibrahim yang menuduh kononnya wujud pakatan sulit antara Ketua Parlimen DAP, Lim Kit Siang dan Pengerusi PPBM, Tun Mahathir Mohamad.
Tunku Aziz tanpa sebarang bukti mendakwa kononnya kedua-dua pihak itu berjanji menetapkan Timbalan Presiden PPBM, Datuk Seri Mukhriz Mahathir dan Kit Siang sebagai Perdana Menteri dan Timbalan Perdana Menteri jika pembangkang menang dalam pilihan raya nanti.
Sedangkan, perkara itu berkali-kali dinafikan DAP yang bertegas bahawa hanya jawatan Perdana Menteri yang pernah dibincangkan oleh parti itu, dan ia sebulat suara dipersetujui untuk diberikan kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim.
“Kenyataan putera raja bernama Tunku Aziz ini amat jengkel dan memalukan,” sindir Mahfuz. 


EmoticonEmoticon

<>