Khamis, 4 Mei 2017

Masa yang tepat untuk BN rampas Selangor

Rakyat sudah tentu akan keliru dengan kecelaruan pakatan pembangkang di negeri itu dan bakal mengubah haluan.

SHAH ALAM: Setiausaha Perhubungan Umno Selangor Johan Abdul Aziz menyifatkan masa yang tepat untuk mentadbir kembali Selangor dalam keadaan kecelaruan pakatan pembangkang adalah pilihan raya kali ini.
Katanya, situasi parti pembangkang pada masa ini sudah tentu akan mengecewakan rakyat apatah lagi apabila PAS mempertahankan niat memutuskan hubungan dengan PKR dalam muktamarnya baru-baru ini.
“Penilaian rakyat terhadap kerajaan terhadap Pakatan Harapan sekarang ini rakyat pun banyak keliru PAS pun keliru sebelum ini sebab itu mereka keluar.
“Jadi ini masa terbaik untuk BN perintah Selangor,” katanya kepada wartawan.
Beliau terdahulu mengulas mengenai keyakinan BN untuk kembali merampas Selangor daripada pakatan pembangkang menjelang pilihan raya yang akan datang selepas PAS dilihat nekad untuk bergerak solo meninggalkan PKR dan DAP.
Beliau yang juga Adun Semenyih walaubagaimanapun mengakui sukar untuk menjangkakan peningkatan kerusi pada Pilihan Raya Umum ( PRU14) .
“Susah nak jangka kenaikan undi di Selangor. Dulu BN memerintah tidak mustahil kita pula lebih kerusi,” tambah beliau.
Terdahulu usul untuk memutuskan hubungan antara PAS dengan PKR yang diluluskan di Muktamar PAS ke-63, Ahad yang lalu.
Umum maklum bahawa kedua-dua parti itu masih bekerjasama di Selangor walaupun Pakatan Rakyat telah terkubur dua tahun lalu.


EmoticonEmoticon

<>