Khamis, 11 Mei 2017

PENINGKATAN AHLI WANITA UMNO BUKTI PENERIMAAN RAKYAT – SHAHRIZAT

Bilangan keanggotaan yang meningkat saban tahun mewakili kesetiaan dan semangat sebenar sayap parti itu dalam membawa falsafah perjuangan Umno. 

Mempunyai keanggotaan yang mencapai 1.39 juta atau 38 peratus daripada jumlah keseluruhan anggota Umno bukanlah tiket bagi Pergerakan Wanita untuk mendabik dada sebaliknya, angka itu membuktikan tahap kesetiaan mereka kepada parti.
Ketuanya, Tan Sri Shahrizat Abdul Jalil berkata, bilangan keanggotaan yang meningkat saban tahun mewakili kesetiaan dan semangat sebenar sayap parti itu dalam membawa falsafah perjuangan Umno.
“Kemana-mana saya pergi, saya lihat penerimaan rakyat di peringkat akar umbi terhadap kerja-kerja Jalinan Rakyat, Skuad Sayang, Skuad An-Nur dan JUWITA yang dijalankan oleh Wanita Umno amat positif sekali.
“Dalam pada kami menjalankan tugas-tugas ini, secara tidak langsung Wanita Umno dikenali lebih rapat oleh masyarakat setempat. Apabila mereka mengenali Wanita Umno dan memahami tujuan kami, mereka menjadi minat dengan Umno dan mahu menyertainya untuk sama-sama menabur jasa dan bakti kepada yang memerlukan.
“Maka, tidak hairanlah jika keahlian wanita Umno meningkat setiap tahun,” katanya kepada Bernama sempena ulang tahun ke-71 parti itu yang akan disambut esok.
Shahrizat berkata, Wanita Umno, yang muda setahun daripada usia Umno, sedang mempersiapkan jentera bagi menghadapi pilihan raya umum (PRU) yang dijangka tahun ini.
Beliau berkata, sayap itu melalui Jalinan Rakyat (JR) telah turun padang untuk menjadi ‘mata dan telinga’ rakyat bagi menyampaikan keperluan mereka kepada kerajaan.
Langkah terbaharu sayap parti itu adalah dengan menjemput semua pihak yang mahu membantu menjalankan tugas-tugas JR untuk bersama-sama menyertai Jalinan Rakyat Plus (JRPlus) yang dilancarkan Perdana Menteri yang juga Pengerusi BN, Datuk Seri Najib Tun Razak pada 14 April lepas.
“Saya nak maklumkan, jentera JR Wanita Umno telah mula menjalankan tugas sehari selepas PRU-13 selesai. JR juga bertindak sebagai penyampai maklumat tentang polisi dan inisiatif kerajaan BN ke akar umbi supaya peluang yang ada dapat dimanfaatkan untuk meningkatkan taraf hidup rakyat. – Bernama


EmoticonEmoticon

<>