Khamis, 4 Mei 2017

SPRM tetap heret pemimpin korup sekalipun menang PRU14.


Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) memberi jaminan bahawa pemimpin korup diheret ke muka pengadilan sekalipun memenangi Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).
Ketua Pesuruhjayanya, Datuk Dzulkifli Ahmad berkata, pihaknya tidak teragak-agak bertindak sebaliknya kekal sebagai agensi melindungi kepentingan rakyat.
Katanya, ketegasan itu tidak melibatkan sebarang agenda peribadi dan sekadar bertujuan mahu SPRM dihormati dan disegani.
“Saya tidak mendapat apa-apa arahan daripada mana-mana pemimpin atau ahli politik.
“Bila Parlimen dibubarkan nanti, saya akan mengeluarkan kenyataan keras kerana ahli politik perlu terus bersih.
“Ada yang dapat kuasa kemudian jadi korup,” katanya dipetik Astro Awani.
Beliau dilapor berkata demikian ketika pertemuan bersama ketua pengarang organisasi media tempatan dalam Kaukus Khas Media Anti Rasuah, hari ini.
Pada masa sama, Dzulkifli berkata SPRM sudah memulakan siasatan kes melibatkan ahli politik termasuk kes berprofil tinggi.
“Bagaimanapun, SPRM tidak akan bertindak sehingga selesainya PRU14.
“Kami tidak mahu diheret ke dalam kancah politik kerana setiap kes pasti akan jadi modal pilihan raya,” katanya.


EmoticonEmoticon

<>