Khamis, 11 Mei 2017

Zahid: Umno kekal relevan untuk semua rakyat

Ahmad Zahid berkata Umno mencapai usia kematangan yang terbaik sebagai sebuah organisasi yang sudah berusia 71 tahun.

Umno yang mencapai usia 71 tahun esok, akan kekal relevan untuk semua rakyat Malaysia kerana perjuangan parti itu tidak hanya terhad kepada orang Melayu sahaja, kata Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Timbalan Perdana Menteri merangkap Naib Presiden Umno yang menjalankan tugas-tugas Timbalan Presiden Umno itu berkata, meskipun dilanda pelbagai cabaran sejak ditubuhkan, parti itu tetap teguh hingga ke hari ini berkhidmat melaksanakan tugas dan tanggungjawab bagi memenuhi agenda yang termaktub dalam perlembagaannya termasuk untuk Raja-raja Melayu serta kaum pribumi di Sabah dan Sarawak.

"Kita lihat dalam tempoh tujuh dekad ini, kita telah meniti tawarikh perjuangan Umno yang tidak lekang daripada pelbagai cabaran. Malah pengasas Umno dahulu, Datuk Onn Jaafar ingin buka (pintu) Umno kepada bukan Melayu, akhirnya beliau tubuhkan parti lain, tetapi alhamdulillah Tunku Abdul Rahman (Perdana Menteri Malaysia yang pertama) berjaya bagi roh baru walaupun pengasas Umno tidak bersama parti lagi.

"Pemimpin datang dan pergi, pelbagai gelombang dan cabaran. Malah pernah dicabar dalam dan luar, pernah ditikam luar dan dalam. Tikaman belum lagi reda hingga sekarang walaupun jasa Umno pada seseorang itu besar. Tetapi Umno tetap parti yang kukuh dan akan kekal relevan untuk semua pihak," katanya kepada Bernama dalam temu bual sempena Hari Umno ke-71 dalam program Ruang Bicara Khas, BNC, yang disiarkan malam ini.


Ahmad Zahid berkata Umno telah mencapai usia kematangan yang terbaik sebagai sebuah organisasi yang sudah berusia 71 tahun.

Sungguhpun demikian, katanya, Umno masih memerlukan pelbagai pengisian untuk menggunakan kematangannya itu dalam segala bentuk tindakannya.

"Dalam perkara ini, tentunya kesinambungan kepimpinan sejak Umno diasaskan harus terus menyuntik elemen-elemen kematangan dalam kelangsungan perjuangan Umno itu sendiri.

"Malah, perjalanan pentadbiran dan juga penggarapan dukungan daripada idea parti dan akar umbi masih berjalan dengan baik.

"Inilah istimewanya Umno di mana proses kesinambungan ini terus diraikan dan kita merasakan bahawa rakyat masih bergantung harap kepada parti ini kerana Umno boleh memperjuangkan untung nasib mereka bukan waktu ini sahaja tetapi untuk waktu mendatang," katanya.


EmoticonEmoticon

<>